Chicharito Bakal Sertai LA Galaxy, Terima Gaji Termahal Di MLS

Los Angeles Galaxy dijangka akan memuktamadkan perjanjian kontrak bersama bekas penyerang Manchester United, Javier ‘Chicharito’ Hernandez dari kelab Sepanyol Seville dengan nilai perpindahan sebanyak £7 juta.

Sekalipun butir rundingan tidak didedahkan kepada umum, tetapi sumber-sumber tertentu menjelaskan Galaxy akan menjadikan penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan Mexico itu sebagai pemain dengan gaji tertinggi di saingan Major League Soccer (MLS).

LA Galaxy dijangka akan mengumumkan ketibaan Hernandez secara rasmi pada minggu depan.

Seorang lagi penyerang antarabangsa Mexico, Carlos Vela yang beraksi dengan pasukan di bandar Los Angeles iaitu Los Angeles FA mengakui turut teruja dengan berita penyertaan rakan senegaranya itu di Amerika Syarikat.

“Dia adalah mesin gol. Dia sentiasa bersedia untuk memburu gol, namun dia juga bagus ketika pasukannya sedang bertahan,” kata pemain yang meraih anugerah pemain paling bernilai MLS tersebut.

“Sudah tentu saya menyukainya, Semua orang Mexico tentu teruja.”

Hernandez merupakan pemain senior Mexico dan telah pun menjaringkan 52 gol dalam 105 penampilan antarabangsa. Beliau menyertai Seville dari West Ham United ada September lepas.

Namun demikian, beliau gagal mencipta impak yang diharapkan dan hanya bermain dalam dua perlawanan sejak awal musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu akan berperanan sebagai penggempur utama buat Galaxy selepas pemergian Zlatan Ibrahimovic yang telah menyertai kelab Serie A, AC Milan pada bulan ini. Penyerang Sweden itu telah menjaringkan 53 gol sepanjang dua musim di MLS.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram