Cheng Hoe: Tiada Misi Wajib Menang Buat Malaysia Berdepan Jordan & Uzbekistan

Tan Cheng Hoe Malaysia

Bedepan dengan dua pasukan yang berada pada kedudukan ranking yang jauh lebih baik, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu bersikap realistik dengan tidak meletakkan misi ‘wajib menang’ buat pasukannya.

Dalam sidang media skuad kebangsaan secara maya yang dilapor Bernama, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata pendekatan tersebut dibuat kerana enggan meletakkan sebarang tekanan kepada pemain, sebaliknya mahu anak buahnya fokus memberikan aksi terbaik berdepan Jordan dan Uzbekistan.

“Dari situ kita akan menilai setiap individu bagi membentuk satu pasukan yang kuat di masa hadapan,” kata Cheng Hoe.

Tentunya tidak mudah untuk Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-154 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk bersaing dengan Jordan (ke-93) dan Uzbekistan (ke-84). Tetapi dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil kerana bola itu bulat.

Sekiranya berjaya menghasilkan keputusan positif untuk kedua-dua perlawanan persahabatan itu, ia merupakan ‘bonus’ dan pastinya dapat memperbaiki kedudukan skuad negara.

Ranking FIFA dianggap amat penting kerana ianya bakal mempengaruhi undian pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang mana akan memberi kelebihan kepada pasukan yang berada di kedudukan yang lebih baik.

Sementara itu, kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak pula optimis bahawa pasukan negara mampu mencipta kejutan berdepan dua pasukan tersebut dengan meraih keputusan seri.

Baginya apa yang penting adalah untuk beliau dan rakan sepasukan mengelak dari kerap melakukan kesilapan yang akan dihukum oleh pasukan lawan dalam kedua-dua aksi tersebut.

“Saya mengharapkan dan ingaktan diri sendiri yang kita tak boleh buat banyak kesilapan. Kesilapan akan ada dalam setiap perlawanan, cuma kita perlu tidak terlampau melakukannya,” ujar pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

“Sebab apabila bertemu pasukan seperti ini, kita selalu membuat kesilapan dan mereka akan hukum kita dengan jaringan. Kalau kita kurang kesilapan, kita boleh mendapat sekurang-kurangnya seri.”

Mengenai beberapa muka baharu yang disenaraikan untuk panggilan kali ini, Aidil menegaskan setiap pemain tidak perlu memikirkan mengenai kekuatan pasukan kerana perasaan gugup dan tertekan itu akan menjejaskan perancangan pasukan.

“Bagi saya yang penting adalah pasukan saya sendiri dan rakan-rakan bagaimana kita boleh fokus 90 minit dalam permainan, Sebagai pemain, kita buat kerja kita di padang, ikut segala taktikal permainan, insya-Allah tak timbul sebarang masalah bila menentang mereka.”

Malaysia dijadualkan berdepan Jordan pada jam 11 malam ini di Stadium King Abdullah II. Manakala aksi menentang Uzbekistan pula akan berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman pada 9 Oktober.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply