Untuk Kembalikan Keyakinan Harimau Malaya, Cheng Hoe Mahu Aksi Pemanas Badan

Tan Cheng Hoe

Selepas sepuluh perlawanan dan melalui lebih setahun tanpa sebarang kemenangan, moral di kem skuad kebangsaan kini pastinya berada di tahap yang sangat rendah.

Sejak November 2016, Malaysia masih tercari-cari rentak untuk mencipta kemenangan dan ranking terbaharu skuad kebangsaan juga berada di tahap terendah dalam sejarah iaitu pada kedudukan 174.

Ianya pasti satu tugas yang sukar buat pengendali baharu skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk mengembalikan semangat para pemainnya menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki, penghujung tahun depan.

Bercakap kepada Berita Harian, Tan Cheng Hoe mengharapkan sebelum aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 pada Mac depan, skuad kebangsaan akan mendapat satu aksi pemanas badan.

Tan Cheng Hoe. Foto: Asiana.my

“Bagus jika dapat mengharungi perlawanan ujian menentang mana-mana pasukan sebelum bertemu Lubnan.

“Setakat ini, kita belum mengenalpasti pasukan lawan tetapi kita merancang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan tahun depan,” ujar Cheng Hoe.

Pastinya Tan Cheng Hoe ingin mencari ‘tonik’ buat skuadnya sebelum berangkat ke Beirut pada 27 Mac, menentang pendahulu kumpulan B, Lubnan.

Walaupun gagal untuk melayakkan diri ke Piala Asia, Cheng Hoe sudah semestinya ingin meraih sesuatu sebelum menutup aksi kempen kelayakan.

Dan berdasarkan rekod, selepas Bertalan Bisckei, tiada lagi mana-mana ketua jurulatih skuad kebangsaan yang berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan sulung masing-masing.

Jika jurulatih berusia 49 tahun itu ingin menjadi ketua jurulatih pertama Malaysia yang merekodkan kemenangan dalam perlawanan pertama, dia perlu memulihkan dahulu semangat para pemainnya.

Cheng Hoe dipetik pernah berkata kepada FourFourTwo, sebagai jurulatih pastinya dia ingin memotivasikan semula para pemainnya ketika ini.

“Sebagai jurulatih, saya ingin memberikan keyakinan kepada para pemain. Semua mestilah sanggup untuk berkorban dan mempunyai keinginan untuk beraksi bersama negara.

“Kita perlukan pemain yang ada keinginan untuk bermain dan mentaliti untuk menang perlu ditanamkan juga,” tambahnya lagi sambil menyatakan ianya adalah sesuatu yang boleh direalisasikan.

Sementara itu, bercakap mengenai Piala AFF 2018, Cheng Hoe menjelaskan itu merupakan tugasan utamanya dan tiada sebarang sasaran diletakkannya pada ketika ini.

“Perkara utama adalah untuk mendapatkan kembali keyakinan di kalangan para pemain. Aksi pertama adalah penting, dan disebabkan itu saya sedang mencari lawan yang sesuai sebelum menentang Lubnan,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram