Quantcast

BERITA

Cheng Hoe Beri Amaran Jangan Pandang Rendah Pada Mongolia

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap berwaspada terhadap ancaman daripada pasukan Mongolia apabila kedua-duanya bertemu pada kasi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Beliau berkata kepada Berita Harian, mengingatkan para pemainnya agar tidak memandang rendah pada kemampuan pasukan lawan walaupun kedudukan ranking Malaysia jauh lebih baik.

“Pemain Mongolia mewarisi asid deoksiribonukleik (DNA) Genghis Khan, jadi mereka juga pejuang!,” tegas Cheng Hoe.

“Saya lihat Mongolia serius apabila menjalani latihan dua minggu di China sebagai persiapan menentang kita.

“Jadi, pemain tidak boleh memandang rendah Mongolia. Mungkin mereka kekurangan daripada segi teknik tetapi lawan mempunyai semangat juang tinggi.

“Berdasarkan sejarah, orang Mongolia ada DNA Genghis Khan yang juga seorang pejuang dan penakluk. Justeru, sudah pasti pemain mereka mewarisi semangat juang itu,” katanya.

Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. FOTO: FAM

Skuad Harimau Malaya berdepan kemarau kemenangan sejak kali terakhir menewaskan Kemboja 3-2 pada Piala AFF, November 2016.

“Ini aksi persahabatan pertama skuad kebangsaan pada 2018 dengan pemain menjalani latihan singkat. Namun, saya percaya dan positif dengan kemampuan semua pemain yang melapor diri kali ini.

“Ini peluang terbaik kita untuk membuka lembaran baharu skuad kebangsaan dan soal prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini, kita perlu lupakan kerana kita kini perlu memandang ke hadapan.

“Saya mengharapkan pemain turut berfikiran positif dan bersemangat. Apa yang penting mereka dapat menikmati aksi antarabangsa ini,” katanya.

Safiq Rahim kembali mengalas tugas sebagai kapten pasukan malam ini. FOTO: FAM

Sementara itu, kapten skuad Harimau Malaya Safiq Rahim  mengharapkan kehadiran Natxo Insa dan Corbin Ong dapat memberi hasil yang positif pada penampilan pertama mereka malam ini.

“Mereka berdua pernah beraksi di Eropah, jadi sudah pasti mereka memperoleh pengalaman berharga yang dapat membantu perkembangan pasukan ini.

“Sudah tentu saya mengharapkan mereka dapat memberikan kualiti persembahan yang sama ketika bersama JDT untuk skuad kebangsaan pula. Saya yakin dengan kerjasama semua pemain, pasti kita dapat meraih keputusan positif.

“Kita juga lihat ramai pemain muda membarisi skuad kebangsaan kali ini, jadi saya mahukan mereka meneruskan momentum yang diraih pada kejohanan di peringkat Asia baru-baru ini,” katanya