Chelsea Paling Hebat, “Supplier” Terbesar Pemain Di Separuh Akhir Euro 2020

England mengesahkan slot terakhir separuh akhir Euro 2020 milik mereka selepas membelasah Ukraine 4-0. The Three Lions akan bertemu dengan Denmark di peringkat seterusnya untuk ke final. Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Itali akan berhadapan dengan Sepanyol.

Empat pasukan ini juga menjadikan Chelsea mempunyai wakil terbesar di separuh akhir Euro 2020. Ia bukan mengejutkan pemain-pemain dari kelab London itu dipanggil mewakili negara masing-masing selepas prestasi cemerlang di pertandingan Champions League.

Chelsea memiliki 17 pemain pada permulaan Euro 2020. Dan kini hanya tujuh daripada mereka tinggal. Sekurang-kurangnya seorang pemain Chelsea akan mengakhiri Euro 2020 dengan kilauan kejuaraan – untuk menjadi juara eropah di peringkat kelab dan bersama negara.

Mason Mount

Mount adalah antara pemain penting Gareth Southgate di dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Khidmat emain tengah itu bagaimanpun terpaksa dilupakan selepas terpaksa dikuarantin selama 10 hari selepas rakan sepasukan di Chelsea, Billy Gilmour positif Covid-19.

Ini menyebabkan Mount terlepas aksi menentang Republik Czech dan Jerman.

Mount kembali dalam perlawanan menentang Ukraine di suku akhir, dan menghasilkan assist untuk gol pertama Jordan Henderson di peringkat antarabangsa. Mount hampir pasti mengekalkan tempat beliau di dalam kesebelasan utama England dalam pertemuan menentang Denmark.

Ben Chilwell

Seperti Mount, Chilwell juga terpaksa dikuarantin kerana bergaul dengan Gilmour selepas England terikat tanpa jaringan menentang Scotland di peringkat kumpulan.

Tetapi tidak seperti Mount, Chilwell bukan pemain pilihan utama Southgate. Beliau tidak berada di dalam skuad yang menentang Croatia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan, dan sekadar berada di bangku pemain simpanan dalam perlawanan berikutnya menentang Scotland.

Selepas tamat tempoh kuarantin, bek kiri ini sekali lagi tidak berada di dalam senarai skuad menentang Jerman dan sekali lagi sekadar berada di bangku pemain simpanan ketika perlawanan menentang Ukraine.

Prestasi cemerlang dan konsisten Luke Shaw bermakna semakin sukar untu Chilwell mendapatkan minit perlawanan di Euro 2020 ini.

Reece James

Selepas lima perlawanan dan kini mulai memasuki peringkat separuh akhir, Reece James diberikan peluang beraksi 90 minit dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang Scotland.

Dalam perlawanan tersebut, adil untuk kita katakan James gagal menampilkan prestasi yang diharapkan untuk skuad England ini. Sejak daripada itu, James tidak pernah diturunkan lagi dalam baki tiga perlawanan seterusnya.

Di suku akhir menentang Jerman, nama James langsung tidak berada di dalam skuad England. Peluang beliau untuk berada di hadapan Kieran Trippier dan Kyle Walker untuk perlawanan menentang Denmark dianggap tipis.

Jorginho

Merupakan maestro di dalam skuad kendalian Roberto Mancini, Jorginho ibarat jantung di bahagian tengah pasukan Itali.

Tidak ada pemain lain di dalam skuad Itali ini yang memiliki minit perlawanan sebanyak Jorginho sejak pasukan Itali dikendalikan oleh Mancini.

Ia tidak menghairankan apabila Jorginho mempamerkan aksi konsisten membantu Itali memiliki penguasaan bola dan nadi penggerak serangan.

Perlawanan menentang Sepanyol di separuh akhir nanti akan menjadi satu lagi medan ujian buat pemain ini.

Emerson

Emerson pula lebih kepada menjadi pemerhati sepanjang kejohanan ini berlangsung. Satu-satunya penampilan beliau untuk Itali ialah ketika menentang Wales di aksi terakhir peringkat kumpulan.

Kecemerlangan aksi Leonardo Spinazzola adalah antara penyebab Emerson sekadar berada di bangku pemain simpanan.

Tetapi kini bek kiri Roma itu mengalami kecederaan ketika berhadapan Belgium di peringkat suku akhir, dan pasti tidak dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Sepanyol.

Kini terpulang kepada Emerson sendiri untuk membuktikan kemampuan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Spinazzola.

Andreas Christensen

Gol roket oleh Andreas Christensen untuk Denmark dalam perlawanan menentang Rusia adalah salah satu detik ikonik di kejohanan Euro kali ini.

Kemenangan 4-1 ke atas Rusia itu membantu mereka layak ke pusingan berikutnya di kedudukan kedua kumpulan walaupun sebelum itu dikejutkan dengan insiden Christian Eriksen yang mengalami serangan jantung. Kini mereka hanya selangkah sahaja lagi untuk ke perlawanan akhir.

Namun untuk berbuat demikian, Christensen terlebih dahulu perlu melepasi halangan rakan sepasukan di Chelsea seperti Mount, Chilwell, James dan keseluruhan skuad England yang lain.

Satu perkara yang pasti skuad Denmark ini sudah bersedia untuk melawan habis-habisan menentang England.

Cesar Azpilicueta

Cesar Azpilicueta adalah kapten Chelsea yang menjulang kejuaraan Champions League pada Mei lalu, dan kini mengintai peluang untuk melakukan perkara yang sama bersama negaranya pada 11 Julai nanti.

Azpilicueta sekadar berada di bangku pemain simpanan pada dua perlawanan awal peringkat kumpulan, sebelum berada di dalam kesebelasan utama dalam perlawanan wajib menang menentang Slovakia. Skuad kendalian Luis Enrique menang 5-0 perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu.

Azpilicueta kemudiannya turut menjadi salah seorang penjaring dalam perlawanan getir menentang Croatia yang dihiasi lapan gol sepanjang 120 minit perlawanan, sebelum turut beraksi dengan baik menentang Switzerland untuk tempoh perlawanan yang sama.

Tiada keraguan lagi Luis Enrique akan terus menyandarkan bahagian pertahanan Sepanyol kepada Azpilicueta ketika berhadapan Itali nanti.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Euro 2020:

Memahami Peranan No.6 & Statistik Luar Biasa Jorginho Lawan Belgium

3 Punca Jerman Pulang Awal Dari Euro 2020

Aymeric Laporte Kongsi Kisah Abaikan Perancis Untuk Jadi Pemain Naturalisasi Sepanyol

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply