Chelsea Digantung Dua Jendela Perpindahan Selepas Langgar Peraturan FIFA

Ketika skuad Chelsea pada musim ini mempamerkan aksi turun naik terutamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kelab dari London itu kini berhadapan masalah baharu.

Chelsea telah dikenakan tindakan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas The Blues didakwa melanggar peraturan badan induk bola sepak dunia itu berkaitan perpindahan antarabangsa dan pendaftaran pemain bawah 18 tahun.

Ia menyebabkan Chelsea tidak dibenarkan untuk aktif dalam urusan pembelian pemain bagi dua jendela perpindahan dan turut didenda dengan nilai £400,000. Pihak FA England juga telah didenda sebanyak £391,000.

Hukuman yang dihadapi tidak menghalang pemain mereka untuk meninggalkan pasukan bagi menyertai kelab lain dan hukuman ini tidak melibatkan pasukan wanita dan futsal Chelsea.

Kenyataan yang dikeluarkan FIFA berkenaan hukuman terhadap Chelsea. Kredit: The Guardian

Menurut laman Twitter rasmi Jack Cohen yang merupakan seorang Peguam Sukan, beliau mengatakan Chelsea akan membuat rayuan ke Jawatankuasa Rayuan FIFA dan sekiranya perlu, kes ini akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Cohen menambah penggantungan yang dikenakan terhadap Chelsea akan ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan dan mereka masih boleh menjalankan urusan pembelian pemain seperti biasa.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram