Cerita Malaysia Ke Piala Dunia Futsal 1996 Yang Kurang Diketahui Ramai

Futsal

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia pernah membuat penampilan di Piala Dunia Futsal FIFA 1996, Sepanyol.

Ketika itu cabaran skuad negara digalas oleh pemain bola sepak yang diketuai oleh Zainal Abidin Hassan oleh kerana futsal masih asing di tanah air.

Lebih menyulitkan keadaan ketika itu juga negara tidak mempunyai liga mahupun kelab futsal untuk membolehkan ketua jurulatih ketika itu, Victor Hermans memilih pemain yang berkualiti untuk membawa cabaran negara. Jurulatih berpengalaman negara, Irfan Bakti Abu Salim pula bertindak selaku pembantu Hermans.

Namun disebalik masalah yang melanda, skuad negara masih mampu untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Futsal FIFA 1996 selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan bagi zon Asia Tenggara.

Mari kita jejaki perjuangan yang kurang diketahui ramai ini.

Kelayakan Zon Asia Tenggara rintis laluan ke Sepanyol

Kejayaan menundukkan Filipina (13-3) dan seri 7-7 menentang Brunei dalam saingan kelayakan sudah cukup bagi melayakkan skuad negara ke Sepanyol sekaligus mengiringi China dan Iran sebagai wakil Asia dalam kejohanan futsal berprestij itu.

Kisah di Segovia (Sepanyol) pengalaman berguna buat pemain

Selepas menjalani latihan selama 10 hari di Belanda, anak buah Vic Hermans memulakan misi mustahil di Sepanyol berdepan Itali pada perlawanan pembukaan. Azman Adnan mengejutkan Itali pada jaringan minit ke-4 perlawanan namun jaringan pendahuluan tersebut dipadamkan 6 minit kemudian.

Itali terus mempamerkan bisa mereka apabila terus menambah 9 lagi jaringan untuk tamat perlawanan Malaysia tewas 1-10 pada perlawanan sulung itu.

Uruguay menanti pada perlawanan kedua dan sekali lagi Azman Adnan berjaya menyumbat jaringan pendahuluan buat skuad negara pada minit ke-7 namun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila beberapa saat kemudian Uruguay kembali menyamakan kedudukan.

Malaysia ketinggalan 1-3 pada babak pertama dan Uruguay hanya menambah satu jaringan pada babak kedua untuk keputusan penuh Malaysia tumbang 1-4 kepada lawan dari Amerika Selatan tersebut.

Perlawanan pelengkap jadual menemukan Malaysia dan naib juara Piala Dunia Futsal FIFA 1992, Amerika Syarikat.

10 gol dibolosi manakala Lim Seng Kong dan Rosdee Sulong berjaya menghasilkan jaringan buat skuad negara pada perlawanan terakhir ini.

Walaupun tanpa sebarang kemenangan yang diperoleh futsal Malaysia pada kempen sulung ini namun, sudah pasti para pemain mendapat banyak pengajaran ketika itu tambahan pemain yang beraksi adalah pemain bola sepak tidak seperti pasukan lain yang membariskan pemain futsal handalan mereka.

Kenali pemain futsal Malaysia di Piala Dunia Futsal FIFA 1996

1) Khairul Azman Mohamed (Goleiro/Penjaga Gol)
2) Md Raizuwah Idris
3) Zainal Abidin Hassan (C)
4) Anuar Jusoh
5) Lim Seng Kong
6) Rosdee Sulong
7) Nazri Yunos
8) Zami Mohd Noor
9) Dollah Salleh
10) Azman Adnan
11) Azrul Amri Burhan
12) Mudzar Mohamed (Goleiro)

Kredit foto: FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram