Cerita Di Sebalik Sistem Bek Bertiga Man Utd & Duo Ronaldo-Cavani

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer tampil menjelaskan keputusannya menggunakan sistem bek bertiga dan menggandingkan Cristiano Ronaldo-Edinson Cavani sebagai penyerang kembar dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur.

Perlawanan Tottenham menentang Manchester United adalah perlawanan kesepuluh Premier League, dan berlangsung pada Sabtu lalu.

Menjelang sepak mula, Solksjaer mengejutkan ramai pihak kerana memilih menggunakan sistem bek bertiga dan dua penyerang buat kali pertama pada musim ini.

Tiga bek tengah yang digunakan oleh pengendali dari Norway itu dalam perlawanan ini adalah Raphael Varane, Viktor Lindelof dan kapten pasukan Harry Maguire.

Berdasarkan hasil perlawanan, Solskjaer boleh menarik nafas lega kerana perjudiannya membuahkan hasil. Skuad Man United kendalian Solskjaer tampak solid dan berjaya menumbangkan Tottenham 3-0 di tempat mereka sendiri.

Tiga gol Man United yang memberikan talian hayat kepada Solskjaer itu dijaringkan oleh Cristiano Ronaldo pada babak pertama perlawanan, sebelum Cavani dan Marcus Rashford menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua.

Pertahanan ampuh Man United

Statistik perlawanan yang menyaksikan Tottenham gagal meraih sebarang percubaan tepat ke arah gawang dikawal David de Gea membuktikan keampuhan sistem bek bertiga yang diterapkan Solskjaer.

Selepas perlawanan, Solskjaer tampil menjelaskan perubahan taktikal yang dilakukannya itu. Menurut beliau sistem bek bertiga dipilih untuk perlawanan ini kerana Man United sebelumnya mudah sangat dibolosi dalam perlawanan-perlawanan terdahulu.

Untuk rekod, Man United telah dibolosi 15 kali dari sembilan perlawanan sebelum berhadapan Tottenham. Secara keseluruhan dari 10 perlawanan terdahulu dalam semua pertandingan, mereka telah dibolosi 19 kali. Ia adalah rekod pertahanan yang sangat buruk.

Kekalahahan terburuk semestinya ketika Man United dengan mudah dirobek dengan lima gol oleh seteru mereka Liverpool pada perlawanan sebelum ini. Kali terakhir Man United mengekalkan clean sheet dalam perlawanan ialah pada Ogos lalu ketika menewaskan Wolves 1-0.

“Banyak faktor yang menentukan taktikal kami [Sabtu lalu’,” kata Solskjaer.

“Namun salah satunya ialah kerana kami mahukan permainan yang solid [mampat]. Kami mendapat kembali Varane yang baru pulih dari kecederaan. Kami kemudian menempatkan Varane di tengah kerana sangat memerlukan clean sheet.

“Ia juga kerana kami perlu mengawal perlawanan dengan terus mengekalkan penguasaan bola. Kami berjaya melakukannya dengan kaedah ini,” kata bekas pengurus Molde dan Cardiff itu.

Duo Ronaldo-Cavani

Turut menarik perhatian ramai dalam perlawanan tersebut ialah gandingan dua penyerang berpengalaman, Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani yang digandingkan secara berdua buat kali pertama pada musim ini.

“Kami juga menggunakan Ronaldo dan Cavani di barisan hadapan. Dengan sistem ini, barisan depan akan mendapat lebih banyak sokongan dari bahagian sayap,” jelas Solskjaer mengenai pembaruan yang dilakukannya itu.

Dalam perlawanan tersebut Ronaldo yang sebelum ini dikritik ramai yang mempersoalkan work rate bintang Portugal itu sehingga merosakkan taktikal Solskjaer kerana malas melakukan pressing beraksi dengan cemerlang.

Selain berjaya menjaringkan satu gol melalui voli rendah untuk gol pembukaan Man United, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu turut menghasilkan satu assist yang disempurnakan Cavani.

Ia adalah assist pertama dilakukan oleh Ronaldo pada musim ini, sekaligus memadam kritikan beliau tidak boleh bekerjasama bersama pemain lain di dalam skuad Man United.

Dari segi taktikal sistem penyerang berkembar yang ditampilkan Man United membenarkan Cavani dan Ronaldo menumpukan usaha mereka di bahagian tengah untuk bahagian serangan yang lebih kompak – sambil dua pemain sayap di kiri dan kanan melakukan tugasan mereka dengan larian dan hantaran mencari kedua-dua pemain.

Di belakang kedua-duanya pula, Bruno Fernandes bebas menampilkan kreativitinya mencari ruang untuk melakukan hantaran ke hadapan untuk memusnahkan garisan pertahanan lawan.

“Kami mungkin akan kembali menggunakan sistem ini pada perlawanan selepas ini. Sebab, sistem ini nyata berhasil.” tambah Solskjaer.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply