Cerezo Osaka Intai Khidmat Penyerang Bawah-19 Tahun Negara

Penyerang skuad bawah 19 (B-19) negara, Luqman Hakim Shamsudin kini berada di dalam radar kelab divisyen 1 Liga Jepun, Cerezo Osaka setelah kelab tersebut mengesahkan mahu pemain itu hadir pada bulan hadapan untuk menjalani sesi percubaan bersama mereka.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah beliau mengadakan pertemuan dengan wakil Cerezo dan Yakult Malaysia baru-baru ini.

Menurut laporan daripada Utusan Online, Cerezo mulai mengikuti perkembangan Luqman Hakim setelah pemain tersebut tersenarai di dalam Kesebelasan Utama Terbaik Piala Sanix 2019, yang diadakan di Global Arena, Fukuoka, Jepun pada Mac lalu.

Aksi Luqman Hakim ketika menentang Thailand dalam kejohanan AFC B-16. FOTO: AFC

Untuk rekod, Malaysia sudah mempunya pemain yang beraksi di Jepun apabila Hadi Fayyadh menyertai Fagiano Okayama di divisyen kedua Liga Jepun.

“InsyaAllah akan terpilih [jika Luqman lulus percubaan]. Kalau lihat tengok prestasinya seperti Hadi Fayyadh juga dulu.

“Memang Jepun pun dah nampak dari awal prestasi Luqman, memang sangat baik dan boleh menjalani latihan serta jadi penyumbang terbesar kepada negara tercinta pada masa akan datang,” kata Syed Saddiq selepas bertemu lima pemain Malaysia dalam Projek Impian ASEAN (ADP) 2019, kelmarin.

Luqman Hakim adalah produk generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang dikendalikan di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Pemain yang berasal dari Kelantan itu mulai mencuri tumpuan apabila meraih anugerah penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lalu.

Pada ketika ini, Luqman sedang memperkuatkan cabaran skuad Bawah-18 Tahun negara di bawah kendalian Brad Maloney di Kejohanan AFF B-18 yang sedang berlangsung di Vietnam.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram