CEO Kedah FA Nasihat Alistair Semak Fail & Faham Sebelum Salahkan Sanusi

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA), Zulkifli Che Haron hari ini menasihatkan Alistair Edwards yang merupakan Pengarah Teknikal JDT untuk kembali menyemak fail dan memahami kronologi sebenar perpindahan Akhyar Rashid sebelum menuduh Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor melakukan tuduhan tidak berasas.

Perkara itu dinyatakan oleh Zulkifli melalui sebuah kenyataan media yang diedarkan pada hari ini.

Fahami kronologi

Melalui kenyataan tersebut, Zulkifli menegaskan Alistair terlebih dahulu perlu memahami kronologi kes berkenaan yang terdiri daripada dua perkara iaitu kes KFA dan Akhyar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC); dan kes KFA dan JDT di Jawatankuasa Rayuan FAM yang berkaitan.

“Walaupun pertikaian di antara KFA dan Akhyar berhubung dengan kontrak pemain telah diputuskan dan selesai antara kedua-dua pihak, KFA masih lagi berhak untuk menuntut pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar dari JDT melalui Jawatankuasa Rayuan FAM,” kata Zulkifli melalui kenyataan tersebut.

 

“Kenyataan Alistair berkenaan KFA tidak perlu yuran pembangunan dan tiada tuntutan dari KFA, perkara ini adalah tidak benar sama sekali memandangkan berlakunya proses perbincangan dan KFA masih menunggu satu tawaran pampasan daripada JDT bersesuaian yang akan dipersetujui oleh kedua-kedua pihak.

“Setiap tindakan yang diambil oleh KFA berhubung perkara ini adalah berdasarkan kepada nasihat guaman.

“KFA akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari masa ke semasa. Saya menasihati Alistair supaya menyemak semula segala fail serta memahami setiap keputusan berkaitan dengan kes tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan menuduh Presiden KFA membuat tuduhan tidak berasas terhadap JDT.”

Pendedahan Sanusi

Sebelum ini Sanusi yang juga merupakan Menteri Besar Kedah mengejutkan ramai apabila mendedahkan JDT belum lagi membayar pampasan perpindahan Akhyar Rashid pada 2018.

Menurut Sanusi beliau kecewa keadaan itu berlaku walaupun kelab dari selatan tanah air itu sepatutnya sudah menjelaskan bayaran sepatutnya setelah diarahkan berbuat demikian oleh badan berwajib.

“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan mereka (JDT) perlu membayar kepada Kedah, kata Sanusi dalam satu sidang media di Alor Setar sebelum ini.

“Kata kaya sangat, awat [kenapa] tak bayaq [bayar]?

“Dia suruh saya pi sana [ajak saya turun ke sana] nak setle, saya tak mau pi. Saya kata bukan salah saya. Siapa salah dia mailah jumpa. Kami miskin, tetapi kami ada maruah. Jangan anggap pasukan miskin ni boleh diratah-ratah begitu saja.”

Dalam sidang media yang samaSanusi turut menyelar perbuatan kelab-kelab kaya di Malaysia yang sesuka hati memancing pemain muda berbakat, tetapi akhirnya tidak menurunkan pemain tersebut untuk beraksi, dan hanya membiarkan mereka memanaskan bangku pemain simpanan.

“Jika mereka meletak budak itu di bangku simpanan terlalu lama, dia akan menjadi ‘pengkaq’ (berprestasi buruk). Ini adalah budaya pengurusan yang tidak baik dalam industri bola sepak kita,” kata Sanusi lagi

“Mereka membeli pemain cemerlang dari pasukan miskin dengan tawaran lumayan hanya untuk mengekalkan pemain di bangku simpanan, jadi budak-budak itu akhirnya menjadi ‘pengkaq’.”

Kanyataan itu bagaimanapun disangkal oleh Alistair yang mendakwa Sanusi membuat tuduhan liar dan tidak berasas.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply