CAT Futsal Hampakan Tuan Rumah, Muncul Juara Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet

CAT Futsal

CAT Futsal FC muncul juara Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet 2020 Piala Raja Iskandar Dzurkarnain selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Perak 5-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Khannachat Meemak nyata mencuri tumpuan susulan jaringan hatrik diledakkannya dan juga ketangkasan penaga gol, Boriboon Klanglar yang sekaligus dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Wakil Thailand itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas usaha Muhammad Faizul Azuan Ramli Sharip untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya terkena Khannachat yang terus membolosi gawang Perak.

Tidak sampai seminit selepas jaringan tersebut terhasil, CAT FC terus melebarkan kedudukan selepas Khannachat menolak mudah bola hasil kesilapan penjaga gol, Nur Hazim Suleiman yang gagal menangkap kemas bola di udara.

Tidak cukup dengan itu, pasukan pelawat menambah dua lagi jaringan menerusi Saroj Hokon dan Kannachat yang melengkapkan hatrik untuk memberikan kelebihan 4-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, skuad bimbingan Ekkapon Wongwitchayankorn mengukuhkan lagi kedudukan menerusi Trakan Toemthanasak selepas menerima hantaran daripada Kannachat pada minit ke-21.

Usaha keras Perak yang seringkali digagalkan penjaga gol, Boriboon Klanglar akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-29 apabila Muhammad Firdaus Zulkefli menolak masuk bola hasil hantaran lintang cantik dilakukan Muhammad Farikh Khabibor Rahman untuk gol saguhati buat skuad bimbingan Azizi Musa itu.

Kejayaan itu menyaksikan CAT Futsal FC menggondol hadiah wang tunai bernilai $5000 manakala Perak pula berpuas hati dengan $2000. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak Darul Ridzuan Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’Fifullah Shah

Kredit Foto: Arena Seladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram