Jamie Carragher Percaya Barkley Lebih Baik Daripada Dele Alli Dan Lingard

Barkley

Ross Barkley telah menjadi pemain penting Chelsea musim ini -lantas, Jamie Carragher percaya Barkley akan menjadi nama yang penting dalam perancangan Gareth Southgate – dalam pasukan England.

Pada awal musim ini, pemain tengah Chelsea – Ross Barkley – telah menjadi pemain penting dalam pasukan Maurizzio Sarri di Chelsea. Beliau pemain yang telah menghilang daripada perhatian pada beberapa musim sebelum ini, kerana isu prestasi.

Namun begitu, tiada siapa dapat menafikan bakat pada Barkley. Beliau pernah digelar sebagai Steven Gerrard baharu di England ketika usia remajanya.

Dengan peningkatan ketara pada Ross Barkley musim ini, Jamie Carragher menghantar mesej jelas – yang pemain itu akan menjadi ancaman kepada pemain lain dalam pasukan England, termasuk Lingard dan Dele Alli.

Bercakap dari sudut bakat semulajadi, Carragher percaya Barkley adalah lebih baik daripada Lingard dan Alli. Cuma yang membezakan sebelum ini adalah cara berfikir di dalam padang dan juga mentaliti.

Jadi, Carragher mahu Barkley mengekalkan rentak permainannya dan terus meningkatkan kemampuan dirinya terutama sekali dari aspek mentaliti.

Carragher menegaskan: “Statistik menceritakan perkara berbeza. Perkara paling utama yang ada pada Barkley dahulu adalah gelecekan. Kita sukakan pemain yang hebat menggelecek – namun bola sepak adalah permainan yang lebih kepada permainan hantaran.”

“Dalam satu perlawanan anda mungkin cuma ada 2 atau 3 peluang untuk menggelecek. Sukar untuk anda menggelecek 5 kali dalam satu perlawanan, itu yang berlaku kepadanya ketika di Everton – terlalu banyak menggelecek.”

“Kesannya, beliau banyak sekali hilang bola. Kini beliau membuat keputusan yang lebih baik di dalam padang.”

“Kita lihat juga kawasan yang dijelajah beliau ketika di dalam padang, saya rasa beliau kini lebih cergas, lebih kuat. Itu yang kita nampak sekarang ada pada Barkley – di Chelsea.

“Beliau sangat bagus ketika di Everton, namun beliau ada isu dengan kemampuan membuat keputusan – beliau tak begitu bagus. Ross Barkley – ketika di Everton – menggelecek pada masa beliau patut menghantar bola.”

“Penyokong Everton sentiasa di belakang beliau. Saya tak nafikan tekanan beliau di Everton adalah tinggi kerana perlu menjadi pemain utama pasukan untuk mencipta sesuatu.”

“Pemain ini [Barkley] harus kuat secara mental. Namun dari segi kemampuan beliau tiada masalah.”

“Anda cuba fikirkan pemain yang beraksi di posisi tengah ketika Piala Dunia – Dele Alli dan Jese Lingard.”

“Mungkin kamu boleh menyatakan mereka ada mentaliti lebih baik daripada Barkley. Namun dari segi bakat, rasanya tidak – Barkley lebih baik daripada Lingard dan Alli.”

“Jika Barkley ada mentaliti lebih baik – kita semua percaya beliau akan bermain dan mencapai sesuatu yang besar – bersama pasukan besar – dan saya rasa beliau adalah pemain yang harus ada dalam pasukan England.”

Barkley disisihkan daripada skuad Piala Dunia England – pada 2018 – di Rusia. Ini kerana beliau hanya bermain 4 perlawanan musim lalu – dalam kempen domestik.

Pemain tengah kotak ke kotak ini dipanggil semula oleh Southgate dalam tugasan Piala Negara-Negara Eropah baru-baru ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply