Carlo Ancelotti: “Calvert-Lewin Mampu Jadi Penyerang Terbaik Di England & Eropah”

Pengurus Everton, Carlo Ancelotti memuji persembahan penyerangnya iaitu Dominic Calvert-Lewin yang terus memberikan persembahan cemerlang buat pasukannya.

Bercakap selepas kemenangan Everton ke atas Newcastle United, Ancelotti memuji penyerang muda itu yang mempunyai kualiti yang cukup baik.

“Dominic Calvert-Lewin adalah seorang penyerang yang cukup bagus tetapi beliau masih lagi muda dan prestasi perlu ditingkatkan.”

“Saya rasa beliau akan menjadi penyerang yang cukup berkualiti bukan sahaja di England malah di Eropah. Beliau ada semuanya untuk menjadi penyerang berjaya.”

Untuk rekod, sejak kehadiran Ancelotti ke Everton, mereka telah mencatatkan rekod kemenangan 100%.

Terkini mereka menewaskan Newcastle United dengan keputusan 2-1 di tempat lawan yang menyaksikan Calvert-Lewin sekali lagi berada dalam senarai penjaring.

Calvert-Lewin adalah penjaring pertama Everton di era pengurusan Ancelotti ketika mereka menang 1-0 ke atas Burnley di Goodison Park. Dan kini beliau masih lagi satu-satunya penjaring Everton di era pengurus Itali itu.

Dalam aksi menentang Newcastle United, Everton mendahului di separuh masa pertama selepas Calvert-Lewin berjaya menyudahkan percubaan Gylfi Sigurdsson yang terbias kepada pertahanan lawan.

Fabian Schar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 sebelum Calvert-Lewin hadir dengan gol kedua dan kemenangan Everton pada minit ke-64.

Dua kemenangan daripada dua perlawanan jelas menggembirakan Ancelotti yang mengendalikan perlawanan Everton di tempat lawan buat pertama kali.

“Saya cukup menikmati keputusan ini dan juga persembahannya. Para pemain cukup menikmati ketika berusaha keras dan itulah kunci kejayaan hari ini.”

“Ada bahagian yang amat baik, tapi kami kena terus menunjukkan lebih kesinambungan dan tidak hilang kawalan seperti yang kami lakukan pada 20 minit terakhir di separuh masa pertama.”

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply