‘Call-Up’ Kukuhkan Benteng, Aidil Zafuan Harap Pengalamannya Dapat Membantu

Iklan

Aidil Zafuan Malaysia Sri Lanka Persahabatan

Pertahanan skuad negara, Aidil Zafuan Abd Razak merasakan dirinya dapat menyumbang sesuatu kepada benteng Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan menentang Sri Lanka dan juga ketika bertemu Vietnam dalam pusingan kelayakan nanti.

Malaysia akan turun ke Hanoi untuk aksi ketiga Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan hasrat besar, iaitu untuk mencuri tiga mata daripada musuh serantau itu.

Bercakap dalam sidang media pra perlawanan menentang Sri Lanka, Aidil Zafuan menegaskan sebagai pemain senior yang kembali dalam pasukan, bukanlah bermakna beliau boleh membuat sesuka hatinya tetapi perlu mengikut arahan jurulatih.

“Sebagai pemain senior, saya perlu bagi apa yang saya ada untuk pasukan. Tidak bermakna saya sebagai senior, saya boleh buat apa yang saya suka dalam pasukan, perlu juga ikut taktikal jurulatih untuk perlawanan akan datang,” tegas Aidil Zafuan.

“Saya sukakan tekanan supaya saya lebih fokus dalam perlawanan,” tambahnya lagi mengenai tekanan apabila dipanggil semula setelah tersisih hampir 10 bulan daripada skuad Harimau Malaya.

Kali terakhir pertahanan berusia 32 tahun itu beraksi adalah ketika menentang Vietnam dalam perlawanan akhir Kejohanan AFF Suzuki 2018 yang menyaksikan Malaysia tewas dan muncul naib johan.

Selepas melalui tiga perlawanan tanpa Aidil Zafuan, skuad negara yang mempertaruhkan gandingan Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin gagal mempamerkan kombinasi ampuh apabila melepaskan lima gol dan ini adalah ‘call-up’ penting buat Harimau Malaya.

“Saya sudah biasa dalam tekanan. Sebagai seorang pemain perlu ada tekanan dan saya perlu terima tekanan ini serta saya tidak mahu tekanan ini mengganggu aksi saya,” jelasnya mengenai tekanan panggilan semula untuk bersama skuad kebangsaan.

“Bagi saya, saya tengok perlawanan bertemu Indonesia sebelum ini dan tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan. Bagi saya, kita kena kurangkan kesilapan dari segi bertahan, tetapi perlu lebih fokus [kuatkan] di posisi menyerang,” tambahnya lagi.

“Sebagai pertahanan, kita harus lebih waspada dengan kepantasan pemain-pemain Vietnam,” komennya mengenai kelebihan Vietnam yang akan ditemui nanti sambil menyatakan mungkin pengalaman menentang mereka sebelum ini dapat dimanfaatkan olehnya.

Malaysia akan bertandang ke Stadium Mydinh, Hanoi untuk aksi ketiga kumpulan selepas mengumpul tiga mata daripada satu kemenangan menentang Indonesia, bulan lalu.

Kredit Featured Image: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram