Bundesliga Pertimbang Tamatkan Musim 2019/2020 Terus Tanpa Juara

Susulan penularan wabak COVID-19 di Eropah ketika ini, Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan Liga Bola Sepak Jerman (DFL) sudah mengarahkan semua perlawanan Bundesliga dan 2. Bundesliga dimainkan dalam stadium kosong selama dua minggu.

Ketika ini DFB dan DFL masih belum memutuskan apa langkah yang mereka akan ambil selepas ini – sama ada meneruskan liga atau menamatkannya terus.

Media Jerman melaporkan kebanyakan kelab Bundesliga dan 2. Bundesliga tidak bersetuju perlawanan diteruskan di dalam stadium yang kosong.

“Bola sepak tanpa penyokong bukan bola sepak bagi kami,” kata Presiden Union Berlin Dirk Zingler kepada AP. Union Berlin dijadualkan akan menentang Bayern Munich pada hujung minggu ini dan seteru tradisi mereka, Hertha Berlin pada minggu depan – di dalam stadium kosong.

Teruskan liga

Memandangkan banyak pasukan tidak bersetuju dengan langkah DFL yang menyuruh aksi liga diteruskan dalam stadium kosong, ada cadangan supaya liga ditangguhkan buat sementara waktu, iaitu empat minggu.

Penangguhan sementara waktu ini bermakna liga akan disambung semula dan berlanjutan sehingga 30 Jun 2020. Mengikut jadual Bundesliga yang asal, aksi liga sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2020.

Tamatkan terus

Sementara itu Setiausaha Agung DFB Friedrich Curtius menulis di majalah bola sepak Jerman, Kicker:

“Kita perlu bersedia dengan semua senario termasuk kemungkinan operasi liga terpaksa dihentikan secara pra-matang.

“Matlamat kami sudah tentulah untuk menamatkan liga dengan cara paling adil,” tulis Curtius. “Tetapi kesihatan pegawai perlawanan, pemain dan penyokong perlu menjadi keutamaan. Ia perlu menjadi panduan utama keputusan kita pada masa hadapan.”

Maka sebab itulah, menurut laporan media Jerman – Express, DFB dan DFL sedang mempertimbangkan kemungkinan liga akan ditamatkan terus.

Apa akan terjadi bila liga ditamatkan terus?

Apabila liga ditamatkan terus, juara liga tidak akan diumumkan untuk musim 2019/2020. DFL sedang berkira-kira sama ada perlu atau tidak untuk mereka mengadakan ‘perlawanan akhir liga’ selepas wabak COVID-19 berakhir untuk menentukan juara liga.

Kemudian apabila liga ditamatkan terus, tiada pasukan akan tersingkir ke liga bawahnya.

Sebaliknya jumlah pasukan dalam liga akan dinaikkan kepada 22 pasukan – tambahan empat pasukan daripada 18 pasukan sedia ada – supaya pada musim 2020/2021 nanti, tiada pasukan yang ‘lapang’ pada setiap minggu perlawanan.

Empat pasukan yang berada di empat tangga teratas 2. Bundesliga akan dipromosi ke Bundesliga.

Untuk menentukan pasukan mana yang akan layak ke UEFA Champions League dan Europa League, kedudukan pasukan selepas minggu perlawanan ke-26 (minggu ini) akan digunakan.

Kedudukan terkini Bundesliga setakat minggu perlawanan ke-25

Ini bermakna jika kedudukan liga sekarang tidak berubah, Bayern Munich, Borussia Dortmund, RB Leipzig dan Borussia Monchengladbach akan layak ke Champions League. Sementara itu, Bayer Leverkusen dan Schalke 04 akan layak ke Europa League.

Kemudian di akhir musim 2020/2021 nanti, empat pasukan akan disingkirkan secara automatik ke 2. Bundesliga. Pasukan kelima terakhir perlu melalui playoff penyingkiran menentang pasukan yang menduduki tempat ketiga 2. Bundesliga.

Apapun semua cadangan ini masih di peringkat perbincangan. DFB dan DFL dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hal ini dalam masa terdekat.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Bundesliga:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram