Bundesliga: Hertha ‘Berpesta’ Benam Union Dalam Derbi Berlin

Hertha Berlin menyambut kemenangan kedua berturut-turut sejak saingan Bundesliga kembali bersambung selepas menumpaskan seteru setempat, Union Berlin di Stadium Olimpik pada awal pagi tadi.

Keempat-empat gol dijaringkan dalam masa 26 minit pada separuh masa kedua oleh Vedad Ibisevic, Dodi Lukebakio, Matheus Cunha dan Dedryck Boyata.

Pertemuan kedua-dua pasukan pada November lalu menyaksikan berlaku ‘pertembungan’ penyokong sehingga perlawanan terpaksa dihentikan selama 10 minit akibat tindakan penyokong tuan rumah melempar suar ke dalam padang.

Namun suasana berbeza pada perlawanan kali ini apabila tiada lagi ‘kemeriahan’ memandangkan perlawanan dilangsungkan di stadium tertutup tanpa kehadiran penyokong timur dan barat Berlin ekoran pandemik COVID-19.

Pada separuh masa pertama, penjaga gol pelawat, Rafal Gikiewicz menyelamatkan empat percubaan berbahaya Hertha termasuk dari Lukebakio dan Cunha.

Pemain tengah Union, Robert Andrich kemudian hampir-hampir mengejutkan tuan rumah pada penghujung babak pertama apabila sepakan percumanya hanya tersasar sedikit sehaja di atas palang gol.

Enam minit selepas bermula separuh masa kedua, penyerang Bosnia, Ibisevic memulakan ‘pesta’ Hertha Berlin dengan menanduk masuk hantaran lintang Marvin Plattenhardt dari sebelah kiri.

Hertha menggandakan kelebihan mereka hanya seminit selepas itu setelah berjaya merampas bola sejurus sahaja perlawanan bersambung dan Lukebakio menggelecek Gikiewicz sebelum meledak gol kedua pasukannya.

Cunha kemudian menambah ‘luka’ pasukan pelawat apabila gerakan cantiknya di dalam kotak penalti berjaya menghuru-harakan barisan pertahanan sebelum meledak gol ketiga Hertha. Ianya merupakan jaringan keempat pemain Brazil itu dalam empat perlawanan terakhir Bundesliga.

Tandukan kencang Boyata pada minit ke-77 hasil hantaran Plattenhardt menutup malam gemilang pasukannya. 

Keputusan ini meletakkan Hertha Berlin di kedudukan ke-10 dengan 34 mata dari 27 perlawanan sementara Union Berlin yang beraksi dalam musim pertamanya di liga utama Jerman itu kekal di tangga ke-12 dengan 30 mata. 

Hari ini beberapa perlawanan menarik bakal berlangsung. Antaranya pertembungan Borussia Monchengladbach dengan Bayer Leverkusen, Wolfsburg dengan Borussia Dortmund dan Bayern Munich dengan Eintracht Frankfurt.

Kredit Foto: Hertha Berlin

Baca juga artikel kami yang lain mengenai pasukan dari Berlin.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram