Bundesliga: Debut Cemerlang Sane, Hatrik Gnabry Bantu Bayern ‘Tutuh’ Schalke 8-0

Bayern Munich Bundesliga

Bayern Munich terbukti masih segar dengan kejuaraan treble musim lepas setelah membelasah Schalke 04 dengan keputusan 8-0 dalam perlawanan pembukaan Bundesliga di Allianz Arena.

Serge Gnabry mencatat hatrik sambil Leon Goretzka, Robert Lewandowski dan Thomas Muller masing-masing menyumbang satu gol. Leroy Sane yang membuat penampilan pertamanya turut menjaringkan gol di samping Jamal Musiala muncul penjaring gol termuda dalam sejarah Bayern Munich.

Gnabry mencetak gol pertamanya seawal minit keempat dengan rembatan padu menerusi kaki kirinya bagi meletakkan Bayern di landasan terbaik untuk meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam 31 perlawanan musim ini.

Schalke yang masih belum menang dalam saingan liga sejak Januari terus ditekan dengan corak permainan pantas Bayern dan ketinggalan 2-0 hasil jaringan Leon Goretzka pada minit ke-19. Memasuki setengah jam perlawanan, Lewandowski menjaringkan gol ketiga tuan rumah menerusi sepakan penalti.

Gnabry yang diberi jersi nombor 7 musim ini menjaringkan gol kedua peribadinya pada awal babak kedua selepas percubaan Sane diselamatkan penjaga gol pelawat, Ralf Faehrmann dan beliau sekadar menyepak masuk bola ke dalam gawang yang sudah terbuka.

Bekas pemain Arsenal itu melengkapkan hatriknya pada minit ke-59 hasil hantaran pendek Sane dalam kotak penalti. 10 minit kemudian, Thomas Muller terus menambah derita Schalke dengan  gol keenam hasil hantaran ‘rabona’ Lewandowski.

Gol pertama Sane untuk Bayern hadir pada minit ke-71 dengan larian mengatasi perangkan ofsaid hasil lorongan cantik Joshua Kimmich sebelum menewaskan penjaga gol bekas pasukannya itu.

10 minit sebelum tamat perlawanan, Jamal Musiala yang masuk menggantikan Serge Gnabry muncul penjaring termuda Bayern Munich pada usia 17 tahun dan 205 hari sekaligus memadamkan rekod milik Roque Santa Cruz yang (18 tahun dan 12 hari).

Ia adalah kali kedua The Bavarians menjaringkan lapan gol dalam satu perlawanan pada tahun ini selepas mereka mengaibkan Barcelona 8-2 ketika perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim lepas.

Corak permainan skuad kendalian Hansi Flick itu dilihat seperti tidak terkesan dengan ‘kehilangan’ Thiago Alcantara yang telah melengkapkan perpindahannya ke Liverpool.

Kredit Foto: FB Bayern

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Bayern Munich:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply