Bundesliga Buktikan Tiada Kelebihan ‘Tuan Rumah’ Di Stadium Kosong

Selepas lebih dua minggu saingan Bundesliga berlangsung, beberapa norma baharu dapat disaksikan seperti bermain di stadium kosong tanpa penyokong, lebih banyak pemain muda diberi peluang beraksi dan cara meraikan gol yang ‘pelik’.

Namun apa satu perkara yang menarik perhatian adalah statistik ‘luar biasa’ di mana daripada 22 perlawanan yang telah berlangsung, hanya tiga kemenangan sahaja yang terhasil di ‘gelanggang sendiri’.

Ianya merupakan satu isyarat  jelas bahawa tiada lagi kelebihan apabila beraksi di stadium sendiri tanpa kehadiran dan sorakan penyokong yang selama ini sedikit sebanyak telah berjaya ‘menghantui’ pemain pasukan pelawat.

Malah lebih banyak gol dijaringkan oleh pasukan pelawat dengan 44 gol berbanding hanya 25 gol oleh pasukan tuan rumah.

Awal pagi tadi, Borussia Dortmund yang berdepan Bayern Munich juga tewas 1-0 sekalipun bermain di Signal Iduna Park. Begitu juga dengan Bayer Leverkusen yang tumpas di tangan Wolfsburg 4-1 di tempat mereka sendiri.

Borussia Monchengladbach juga menjaringkan gol terpantas mereka (37 saat) ketika meraih kemenangan 3-1 di Frankfurt. Mainz pula tewas dengan keputusan 5-0 di tempat sendiri ketika menentang RB Leipzieg tempoh hari, manakala Augsburg pula mencatat kemenangan terbesar mereka di gelanggang lawan buat kali pertama di Bundesliga.

Segelintir kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini menolak saranan supaya bermain di gelanggang berkecuali dan berkeras mahu ia dilaksanakan seperti biasa kerana beranggapan bermain di stadium sendiri akan memberi kelebihan kepada pasukan mereka, tetapi Bundesliga telah membuktikan sebaliknya.

Antara perkara lain yang berlaku di Bundesliga adalah lebih banyak pemain muda berbakat dapat mempamerkan bakat dan kemampuan mereka dengan peraturan baharu oleh FIFA yang membolehkan lima pertukaran pemain.

Penyerang Dortmund, Erling Haaland dan Leverkusen, Kai Haverts masing-masing mencuri tumpuan dengan rekod jaringan yang cukup baik dalam dua perlawanan tempoh hari.

Seorang lagi pemain muda Leverkusen, Florian Wirtz mencipta sejarah ketika pasukannya menang 4-1 ke atas Werder Bremen pada Isnin lepas dengan menjadi pemain termuda pasukannya yang membuat penampilan di Bundesliga (17 tahun, 15 hari).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Bundesliga:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply