Bundesliga 2019/20: Joshua Kimmich Pastikan Der Klassiker Milik Bayern Munich

Bayern Munich

Bayern Munich terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu saingan Bundesliga selepas berjaya menundukkan musuh tradisi, Borussia Dortmund 1-0 pada aksi yang berlangsung di Signal Iduna Park, sebentar tadi.

Kemenangan pada pertembungan yang digelar Der Klassiker itu menyaksikan skuad kendalian Hans-Dieter Flick tersebut kini memiliki kelebihan tujuh mata di hadapan Dortmund ketika saingan hanya berbaki enam perlawanan untuk ditamatkan.

Dortmund yang dibimbing Lucien Favre bagaimanapun bermula dengan cukup meyakinkan apabila dilihat lebih mengawal permainan pada 10 minit awal berbanding skuad pelawat. Ia dibuktikan setelah Erling Haaland mendapat peluang terbaik seawal minit pertama hasil serangan pantas ke kubu Bayern Munich.

Percubaan leret Haaland berjaya melepasi celah kaki Manuel Neuer yang sedikit keluar dari posisinya tetapi Jerome Boateng cukup bersedia untuk mengeluarkan bola di atas garisan gol bagi menyelamatkan keadaan.

Bagaikan sudah ‘tersedar daripada lamunan’, Bayern Munich kemudiannya tampil lebih bertenaga dengan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Dortmund yang dikawal Roman Burki.

Serge Gnabry turut mengalami kekecewaan seperti dirasakan Haaland selepas percubaannya dalam kawasan penalti diselamatkan di atas garisan oleh ketua pasukan Borussia Dortmund, Lukasz Piszczek di minit ke-19.

Berselang lima minit kemudian, Kingsley Coman pula terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan apabila ledakan padunya dalam kawasan penalti ditepis keluar Burki untuk sekali menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.

Penjaga gol kelahiran Switzerland itu terus mempamerkan ketangkasannya setelah menafikan percubaan luar kawasan penalti yang dilepaskan oleh pemain tengah, Leon Goretzka pada minit ke-40.

Kecemerlangan itu akhirnya sampai ke penghujung di minit ke-43 apabila Joshua Kimmich dengan bijak melihat Burki yang keluar sedikit dari posisinya dan melakukan percubaan lambung untuk gol pendahuluan.

Memasuki babak kedua, aksi menarik terus dipamerkan dengan serangan demi serangan berbahaya dilancarkan pemain kedua-dua pasukan.

Namun, Roman Burki dan Manuel Neuer cukup bersedia bagi mengelakkan gawang mereka dibolosi. Penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski juga gagal untuk menambah koleksi jaringannya apabila sepakan ‘placing’ kaki kiri pada minit ke-83 sekadar singgah di tiang gol.

Jaringan tunggal Joshua Kimmich itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan ke-20 buat Bayern Munich selepas mengharungi 28 perlawanan setakat ini.

Meskipun hanya satu jaringan sahaja dapat disaksikan pada perlawanan ini, corak permainan menarik yang ditampilkan kedua-dua pasukan jelas menghiburkan sekaligus menjadi kemenangan kedua buat Bayern Munich terhadap Dortmund dalam kempen liga selepas mereka menang 4-0 di Allianz Arena pada November tahun lalu.

Kredit featured image: FC Bayern Munchen

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN