Bundesliga 2019/20: Dortmund Menang Tipis, Terus Kejar Pendahulu

Gol pada setiap separuh masa dari Thorgan Hazard dan Achraf Hakimi memberikan kemenangan penting buat Borussia Dortmund selepas mengatasi Borussia Monchengadbach 2-1 pada Sabtu dan sekaligus merampas kedudukan kedua Bundesliga.

Penyerang muda sensasi, Erling Haaland yang dikawal ketat pertahanan Gladbach sepanjang permainan gagal menjaringkan gol dalam perlawanan ini, namun Dortmund ternyata lebih unggul untuk mencatatkan kemenangan ke tujuh dari lapan perlawanan terakhir mereka.

Dengan meraih tiga mata berharga, skuad kendalian Lucien Favre itu sudah mengumpul 51 mata dengan hanya satu mata sahaja di belakang pendahulu liga, Bayern Munich yang masih bermain kurang satu perlawanan.

“Kita kehilangan penguasaan bola terlalu kerap pada separuh masa pertama tetapi kami bernasib baik kerana masih mendapatkan gol pendahuluan. Kami membuat kesilapan besar apabila melepas gol, namun kemudian dapat kembali beraksi seperti yang sepatunya untuk meraih kemenangan,” kata Favre selepas perlawanan.

“Kami akan meneruskan rentak ini pada perlawanan-perlawanan seterusnya. Kebanyakan perlawanan selepas ini lebih mencabar.”

Hazard terlebih dahulu meletakkan pasukan perlawat di depan seawal minit kelapan apabila beliau berjaya mengatasi tiga pemain pertahanan lawan dan berjaya mencari ruang untuk melencongkan bola dengan kaki kirinya.

Gladbach kemudian menyamakan kedudukan lima minit selepas bermula babak kedua menerusi Lars Stindl. Namun Dortmund kembali di depan pada minit ke-71 setelah Hakimi menewaskan penjaga gol tuan rumah, Yann Sommer dengan menyudahkan lorongan Jadon Sancho.

Dortmund kini mengatasi pasukan di tempat ketiga, Leipzig yang hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Wolfburg dengan satu mata.

Bayer Leerkuson pula naik ke tangga keempat dengan 47 mata selepas membelasah Eintracht Frankfut 4-0 dengan Paulinho menjaringkan dua gol.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram