Bundesliga 2019/20: Bayern Munich Kukuhkan Cengkaman Di Persada Liga

Bayern Munich

Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich meneruskan rentak cemerlang di bawah bimbingan Hansi Flick dengan menumpaskan Union Berlin 2-0 di Alte Foersterei dalam perlawanan pertama buat kedua-dua pasukan sejak liga ditangguhkan.

Dua gol pada setiap separuh masa menerusi Robert Lewandowski dan pertahanan, Benjamin Pavard sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat pasukan perlawat yang jelas mendominasi sepanjang 90 minit permainan.

Penjaring terbanyak Bundesliga, Lewandowski kembali memulakan perlawanan selepas terlepas dua perlawanan terakhir sebelum penangguhan tempoh hari. Beliau dibantu oleh dua pemain terbaik musim ini, Serge Gnabry dan Thomas Muller di barisan serangan.

Jarome Boateng dibantu David Alaba di barisan pertahanan sambil diapit Benjamin Pavard dan Alphonso Davies. Ivan Perisic dan Kingsley Coman yang telah pulih dari kecederaan bersedia di bangku simpanan.

Pada minit ke-19, Thomas Muller menyangka sudah meletakkan pasukannya di depan, namun jaringannya dibatalkan setelah semakan VAR mendapati beliau berada pada kedudukan ofsaid.

Enam minit sebelum tamat babak pertama, Nevan Subotic menjatuhkan Leon Goretzka dalam kotak penalti dan pengadil terus memberikan sepakan penalti kepada pasukan pelawat.

Lewandowski dengan tenang menyudahkan peluang tersebut dengan sepakan rendah untuk merekodkan gol peribadi yang ke-26 musim ini. Penyerang antarabangsa Poland itu telah menyamai rekod legenda Jerman, Gerd Muller yang menjaringkan 26 gol dalam 26 perlawanan Bundesliga.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun penguasaan bola jelas milik pasukan perlawat.

Berbaki 10 minit perlawanan, Pavard akhirnya menanduk masuk gol kedua bagi mengesahkan kemenangan pasukannya hasil dari sepakan penjuru yang diambil Kimmich.

Bayern Munich yang kini mengumpul 58 mata kembali menjarakkan kedudukan dengan perbezaan empat mata mengatasi Borussia Dortmund yang turut mencatat kemenangan 4-0 ke atas Schalke pada Sabtu. Sementara Union Berlin pula jatuh ke tangga ke-12.

Perlawanan seterusnya pada 23 Mei ini Union Berlin akan bertemu musuh setempat, Hertha Berlin. Bayern Munich pula bakal menerima kunjungan Eintracht Frankfurt sehari selepas itu.

Kredit Foto: Bayern Munich

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Bayern Munich dan Union Berlin:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram