Bukan Lagi ‘Anak Emas’ Lampard, Mason Mount Kini Kesayangan Thomas Tuchel

Mason Mount Thomas Tuchel

Thomas Tuchel menghamburkan pujiannya kepada Mason Mount selepas pemain muda Chelsea itu merekodkan hatrik pertamanya di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menumpaskan Norwich City 7-0.

Menjelang aksi di Stamford Bridge itu, pemain England berkenaan masih kemarau jaringan sejak awal musim dan beliau secara terbuka menyatakan kekecewaannya.

Kali terakhir pemain berusia 22 tahun itu mencetak gol adalah pada bulan Mei lalu ketika aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid.

Namun kebuntuan itu berakhir apabila beliau membuka akaun jaringannya seawal minit kelapan sebelum melengkapkan hatrik dengan dua gol di penghujung perlawanan untuk melengkpakan kemenangan bersejarah Chelsea.

“Hatrik untuk Mason cukup menakjubkan. Dia pastinya berbangga dengan dirinya selepas meletakkan tekanan kepada dirinya sebelum ini,” ujar Tuchel ketika temubual selepas perlawanan.

“Saya dapat lihat bagaimana dia begitu lega dapat bermain dengan lebih bebas dan itulah apa yang pasukan ini perlukan. Selepas ini ada banyak lagi perlawanan untuknya dan dia pun masih muda lagi.

“Dia sangat kompetitif dan serius untuk meraih matlamatnya. Jadi seperti yang saya katakan, tentunya dia berasa lebih lega sekarang dan ia memberi makna yang cukup besar kepadanya apabila mencatat hatrik. Kita jangan lupa dia ada budak akademi pasukan ini.”

Lima daripada tujuh gol yang dijaringkan merupakan sumbangan graduan akademi Chelsea. Selain tiga gol Mount, dua lagi gol disumbang oleh Callum Hudson-Odoi dan Reece James.

Dalam pada itu, Tuchel menegaskan tiada keraguan bahawa Mount merupakan pemain penting buat pasukannya walaupun Chelsea kini dilimpahi oleh pemain-pemain bintang di setiap posisi.

“Seperti yang kamu tahu, dalam taktikal kami dalam kebanyakan perlawanan kami bermain dengan tiga penyerang dan Mason adalah salah seorang daripadanya. Jadi setiap pemain mempunyai peranan yang penting.”

Tanpa Romelu Lukaku dan Timo Werner yang dilanda kecederaan, Tuchel meletakkan Kai Havertz sebagai penyerang jadian dan diapit oleh Mount Hudson-Odoi yang memberikan kelebihan dari segi kepantasan yang ternyata memberi masalah besar buat barisan pertahanan Norwich.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply