Bukan Kerana Duit Dan Raiola, Donnarumma Dedah Sebab Sebenar Tinggalkan Milan

Penjaga gol skuad kebangsaan Itali, Gialuigi Donnarumma akhirnya membuka mulut dan mendedahkan sebab sebenar beliau meninggalkan AC Milan pada musim panas ini.

Donnarumma mengambil keputusan untuk berhijrah selepas kontrak beliau bersama kelab Serie A itu tamat pada Jun lalu, sebelum menyertai Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma.

Penjaga gol reputasi besar

Baru berusia 22 tahun, Donnarumma melakukan penampilan pertama bersama Milan sejak berusia 16 tahun pada 2015. Beliau adalah salah seorang dari lima pemain bintang yang direkrut PSG pada jendela perpindahan ini bersama-sama Sergio Ramos, Achraf Hakimi, Georginio Wijnaldum dan Lionel Messi.

Selepas melakukan 30 penampulan di Serie A pada musim 2015/16, Donnarumma hanya terlepas lima perlawanan membabitkan Milan sepanjang tempoh lima musim berikutnya, sekaligus mengangkat dirinya selaku salah seorang penjaga gol muda terbaik di eropah.

Reputasi Donnaruma sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia meningkat selepas aksi cemerlang beliau sepanjang kempen Euro 2020 – dan membantu negaranya muncul juara kejohanan tersebut.

Dalam perlawanan akhir Euro 2020, Donnaruma muncul wira Itali apabila menyelamatkan dua sepakan penalti England untuk Itali muncul juara di gelanggang lawan.

Milan kekal di hati

Donnarumma mungkin telah meninggalkan Milan, tetapi kelab tersebut sentiasa berada di dalam hati beliau.

“Saya bersama Milan selama lapan tahun, di sanalah rumah saya, di sanalah saya melalui banyak pengalaman yang indah,” kata penjaga gol itu kepada Corriere dello Sport baru-baru ini.

“Milan tetap kelab yang mengujakan pada saya. Saya menghormati mereka yang berada di dalam kelab, dan juga kepada penyokong. Tetapi kehidupan adalah mengenai pilihan, dan kami mempunyai cita-cita yang berbeza.

“Saya selamakanya adalah seorang penyokong Milan. Lapan tahun yang dilalui bersama tidak akan dilupakan. Tetapi saya perlukan perubahan untuk terus membangun [karier], untuk terus meningkatkan kemampuan dan menjadi yang terbaik.

“Saya merasakan diri perlukan satu ruangan baharu, untuk realiti kehidupan yang baharu.”

Pilihan diri sendiri

Donnarumma turut menegaskan keputusan meninggalkan Milan adalah keputusan beliau sendiri, dan bahawasanya ejen beliau Mino Raiola hanya mempunyai sedikit peranan untuk dimainkan.

“Beberapa keputusan yang dilakukan perlukan kematangan. Saya sentiasa membuat keputusan berkaitan karier sendirian. Ia termasuk keluarga saya yang membenarkan saya membuat pilihan secara bebas.

“Mino [Raiola] juga begitu. Beliau menghormati keputusan klien 100%, dan sudah tentu beliau kemudiannya melakukan apa yang terdaya untu memastikan kepuasan kami. Ketika saya meninggalkan Milan, saya juga tidak berhubung dengan pasukan lain.

Saingan di Parc des Princes

Perpindahan Donnarumma ke Paris sudah tentu akan menerbitkan persoalan kerana PSG sendiri sudah memiliki penjaga gol hebat seperti Keylor Navas.

Pada musim lalu kedua-duanya beraksi sebanyak 45 perlawanan untuk kelab masing-masing. Navas dibocori hanya 36 kali – 15 kali lebih sedikit berbanding Donnarumma yang melepaskan 50 gol.

Namun demikian, Donnarumma berhadapan dengan lebih banya percubaan iaitu 561 kali, berbanding 503 percubaan yang dihadapi Navas.

Navas turut cemerlang menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk PSG pada musim lalu, tatkala Donnaruma hanya mampu berbuat demikian sekali sahaja bersama Milan sepanjang musim lalu.

Penjaga gol Itali itu turut melakukan dua kesilapan yang mengakibatkan gawang sendiri dibocori, tetapi Navas tetap cemerlang tidak membenarkan kesilapan menghukum pasukan.

“Ia adalah motivasi tambahan, Ia sesuatu yang mengujakan saya untuk hadapi,” ujar Donnaruma mengenai persaingan beliau dengan penjaga gol antarabangsa Costa Rica itu.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply