Bridge Transfer: Mengapa Roberto Carlos Berpindah Ke Kelab Bawahan Uruguay Sebelum Ke Real Madrid?

Jika anda membaca artikel Wikipedia Roberto Carlos, anda akan belajar bahawa Roberto Carlos berpindah ke Real Madrid dari Internazionale pada tahun 1996.

Tetapi tahukah anda Roberto Carlos sebenarnya menandatangani kontrak dengan kelab bawahan Uruguay, Central Espanol selepas berpindah dari Internazionale?

Kurang 24 jam beliau bergelar pemain Central Espanol, Real Madrid membeli Roberto Carlos.

Persoalannya, mengapa lagenda bek kiri Real Madrid dan Brazil ini berpindah ke kelab bawahan Uruguay terlebih dahulu sebelum pergi ke Real Madrid?

Apabila Porto membeli penyerang sayap Hulk (gambar bawah) berpindah dari Tokyo Verdy, media melaporkan sesuatu yang pelik.

(Photo by Masashi Hara/Getty Images)

AFP melaporkan:

“Dengan pembelian 40% hak ekonomi daripada kelab Uruguay, CA Rentistas, Porto kini memiliki 85% hak ekonomi Hulk.”

Persoalannya apa kaitan CA Rentistas – sebuah kelab kecil dari Uruguay – dalam urusan perpindahan Hulk dari Tokyo Verdy ke Porto?

Apa itu bridge transfer?

Bridge transfer atau pases puente dalam bahasa Sepanyol, merupakan perpindahan pemain yang melibatkan kelab perantara yang berfungsi sebagai ‘jambatan’.

Proses perpindahan pemain yang normal biasanya hanya melibatkan dua kelab, A dan B.

Tetapi dalam bridge transfer, proses perpindahan pemain akan melibatkan kelab ketiga, C. Oleh itu pemain akan berpindah dari kelab A ke C, sebelum berpindah dari C ke B.

Tempoh pemain tersebut berada dalam kelab C pula biasanya tak lama. Selalunya antara 24-48 jam hingga berbulan-bulan lamanya sebelum berpindah ke kelab B pula.

Apa faedahnya menggunakan bridge transfer?

1) Pemegang hak ekonomi pemain mendapat perlindungan undang-undang

(Photo by Europa Press/Europa Press via Getty Images)

Untuk mendapatkan penjelasan ini, kami merujuk kepada CEO Professional Footballers Association of Malaysia (PFAM), Izham Ismail.

Menurut beliau secara asasnya, pemain bola sepak ada dua hak. Hak federatif dan hak ekonomi.

“Apabila anda melihat tajuk artikel yang menulis ‘pemain X berpindah dari kelab A ke kelab B dengan yuran perpindahan XY’, ia bermakna hak federatif pemain tersebut bernilai XY, ” jelas Izham.

“XY adalah jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh kelab B untuk membeli hak federatif pemain – iaitu hak mendaftarkan nama pemain tersebut – daripada kelab A.”

“Kebiasaanya kelab yang memiliki hak federatif pemain turut memiliki hak ekonomi. Tetapi ada juga kes (kebanyakannya di Amerika Selatan) di mana pihak ketiga memiliki hak ekonomi pemain. Senario ini dikenali sebagai pemilikan pihak ketiga (third-party ownership).”

Sebelum FIFA mengharamkan pemilikan pihak ketiga (third-party ownership) pada 2015, pihak ketiga (seperti individu atau syarikat pelaburan luar yang tiada kena-mengena dengan bola sepak) akan membeli hak ekonomi pemain dengan harapan – pelaburan mereka akan membuahkan hasil apabila nilai hak ekonominya meningkat.

Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

Bagaimanapun Izham (gambar atas) memberitahu dalam undang-undang FIFA, FIFA tak mengiktiraf hak ekonomi tanpa hak federatif pemain.

“Jadi untuk melindungi hak ekonomi pemain mereka, pihak ketiga akan membayar kelab-kelab kecil yang berdaftar sebagai FIFA Family untuk memastikan hak ekonomi mereka terpelihara.”

Bagi kelab kecil, perkara ini dapat menjana pendapatan tambahan – seperti yang dilakukan oleh CA Rentistas semasa Hulk berpindah dari Tokyo Verdy ke Porto.

Hulk hanya berada dalam senarai nama pemain CA Rentistas selama 48 jam sebelum berhijrah ke Porto.

2) Cukai yang rendah

(Photo by Dan Kitwood/Getty Images)

Katakanlah pemain X berpindah dari kelab A ke kelab B dengan yuran perpindahan USD1,000,000.

Kelab A pula terletak di negara yang mengenakan kadar cukai yang tinggi.

Tanpa bridge transfer, kelab B terpaksa mengeluarkan wang tambahan untuk membayar cukai untuk transaksi USD1,000,000 tersebut.

Tetapi dengan bridge transfer, yuran perpindahan akan dibahagi-bahagikan antara dua transaksi untuk mengurangkan cukai transaksi:

  1. Disebabkan kelab A terletak di negara yang mengenakan kadar cukai yang tinggi, yuran perpindahan dari kelab A kepada kelab C dikurangkan kepada USD200,000. Jadi cukai hanya dikenakan untuk transaksi USD200,000 sahaja.
  2. Kemudian disebabkan negara B mempunyai kadar cukai yang rendah, cukai untuk baki yuran perpindahan dari kelab C kepada kelab B yang berjumlah USD800,000 pula menjadi murah.

Antara contoh popular negara B (yang mempunyai kadar cukai rendah) adalah Uruguay. FIFA melaporkan kegiatan bridge transfer ini telah berlaku di Uruguay sejak lewat 80-an dan awal 90-an.

3) Mengurangkan bayaran pampasan latihan

(Photo by Valery MatytsinTASS via Getty Images)

Pada tahun 2006, Internazionale menghubungi kelab Hungary, MTK Budapest untuk menandatangani pemain muda mereka, Attila Filkor.

Bagaimanapun, rundingan antara dua kelab ini menjadi sukar apabila MTK Budapest menuntut Internazionale untuk membayar pampasan latihan sebanyak €160,000, bersesuaian dengan peraturan FIFA.

Tetapi Internaziole lebih licik. Mereka menarik diri dari rundingan.

Sebulan kemudian, sebuah kelab kecil dari Malta, Pietà Hotspurs menghubungi MTK Budapest untuk mendapatkan pemain sama.

Dan disebabkan status kelab Malta tersebut yang kecil, peraturan FIFA menetapkan mereka hanya perlu membayar €70,000 sebagai bayaran pampasan latihan. Attila Filkor kemudiannya berpindah ke kelab Malta tersebut.

Bagaimanapun Attila Filkor (gambar bawah) hanya bergelar pemain kelab Malta tersebut selama 9 hari sebelum berpindah secara percuma ke Internazionale.

(Photo by Adam Davy – EMPICS/PA Images via Getty Images)

MTK Budapest cuba mengheret Internazionale ke Court of Arbitration for Sport (CAS) atas dakwaan menipu.

Mereka mendakwa perpindahan Attila Filkor ke kelab Malta tersebut merupakan cubaan Internazionale untuk mendapatkan pemain tersebut dengan murah.

Tetapi kes tersebut berpihak kepada kemenangan kepada Internazionale kerana MTK Budapest gagal membuktikan dakwaan mereka.

4) Melepasi larangan perpindahan pemain (transfer ban)

Pada musim panas 2017, Atletico Madrid dikenakan larangan perpindahan pemain sehingga tamat tempoh larangan tersebut pada Januari 2018.

Larangan perpindahan pemain ini meranapkan harapan mereka untuk menguatkan pasukan sempena musim 2017/2018. Tetapi CEO Atletico, Gil Marin mempunyai perancangan lain untuk menyelesaikan masalah ini.

Akhbar Sepanyol Marca melaporkan Marin telah berjumpa dengan presiden Las Palmas, Miguel Angel Ramirez pada musim panas 2017 untuk menjadikan Las Palmas sebagai ‘pengantara’ bagi urusan perpindahan pemain sayap Sevilla, Vitolo.

(Photo by Aitor Alcalde Colomer/Getty Images)

Mekanisme perpindahan Vitolo adalah seperti berikut:

  1. Atletico bayar klausa perlepasan Vitolo sebanyak €40 juta untuk membolehkan Atletico memulakan rundingan kontrak
  2. Disebabkan Atletico mempunyai larangan perpindahan, Atletico akan menghantar Las Palmas untuk berunding kontrak dengan Vitolo
  3. Las Palmas menandatangani Vitolo secara percuma (kerana klausa perlepasan Vitolo sudah dibayar oleh Atletico)
  4. Vitolo bermain bersama Las Palmas sehingga Januari 2018
  5. Las Palmas akan melepaskan Vitolo secara percuma ke Atletico pada Januari 2018

Aturan perpindahan yang licik ini membolehkan:

  1. Vitolo masih boleh bermain dalam pusingan kalah mati UEFA Champions League 2017/2018
  2. Vitolo bermain dengan kerap untuk merebut tempat skuad Sepanyol menjelang Piala Dunia 2018
  3. Atletico masih boleh menandatangani pemain di sebalik larangan perpindahan
  4. Las Palmas menerima €5 juta hasil klausa jualan sebanyak 12% ketika menandatangani Vitolo
  5. Las Palmas dapat menggunakan salah satu pemain sayap terbaik La Liga selama 6 bulan

Contoh bridge transfer

Format: Nama pemain, Penjual, Perantara (bridge), Pembeli

Berikut adalah antara pemain yang pernah terlibat dalam bridge transfer:

  1. Roberto Carlos, Internazionale (Itali), Central Espanol (Uruguay), Real Madrid (Sepanyol)
  2. Hulk, Tokyo Verdy (Jepun), CA Rentistas (Uruguay), Porto (Portugal)
  3. Facundo Rancoglia, Boca Juniors (Argentina), Fenix (Uruguay), Fiorentina (Itali)
  4. Hugo Sanchez, Atletico Madrid (Sepanyol), Pumas UNAM (Mexico), Real Madrid (Sepanyol)
  5. Mauro Camoranesi, Cruz Azul (Mexico), Montevideo Wanderers (Uruguay), Verona (Italy)
  6. Gerónimo Rulli, Estudiantes (Argentina), Deportivo Maldonado (Uruguay), Real Sociedad (Sepanyol)
  7. Bruno Fornaroli, Sampdoria (Itali), Boston River (Uruguay), Panathinaikos (Greece)
  8. Tabaré Viúdez, Defensor Sporting (Uruguay), CA Atenas (Uruguay), Club América (Mexico)
  9. Paulo Silas, Sporting Lisbon (Portugal), Central Espanol (Uruguay), Cesena (Itali)

Kesimpulan

Ketika ini FIFA sedang cuba membendung kegiatan bridge transfer yang sedang berleluasa di Amerika Selatan. Di Brazil, hukuman pemotongan mata, disingkir liga dan larangan daftar pemain baru selama 2 musim akan dikenakan kepada mana-mana kelab yang menjadi ‘pengantara’.

PFAM menerusi CEO mereka, Izham Ismail pula memberitahu amalan bridge transfer ini ibarat sistem perhambaan versi moden.

“Pemain-pemain bola sepak akan dilayan seperti komoditi berbanding manusia. Lebih teruk lagi adalah apabila hak ekonomi mereka dipegang oleh individu atau syarikat yang tiada kaitan dengan bola sepak,” jelas Izham.

“Ini membuatkan duit industri bola sepak yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan bola sepak masuk ke poket individu yang tamak,” jelas Izham.

Sumber:

1. El Pais Informacion (2015). FIFA advirtió que no quiere más “pases puente”. http://www.elpais.com.uy/informacion/fifa-advirtio-que-no-quiere-pases-puentes.html

2. Jesús Izquierdo (2017). Vitolo set to sign for Atletico Madrid and play for Las Palmas until January. MARCA. http://www.marca.com/en/football/spanish-football/2017/07/04/595b61e7e5fdea0f3b8b45f0.html

3. Futbol Florida (2016). Deportivo Maldonado: el club uruguayo que esconde un ‘paraíso fiscal’ de fichajes en Europa. https://futbolflorida.com/2016/10/26/deportivo-maldonado-paraiso-fiscal-de-pases-puente/

4. Mateo Vazquez (2015). El “pase puente” es legítimo. Ovacion Digital. http://www.ovaciondigital.com.uy/futbol/fernando-sosa-pase-puente.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN