Brazil Tundukkan Mexico Untuk Muncul Juara Piala Dunia B-17

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Dua gol dalam 10 minit terakhir membolehkan pasukan Brazil menjulang Piala Dunia B-17 buat kali keempat selepas mereka bangkit dari ketinggalan untuk menumpaskan Mexico 2-1 di hadapan penyokong sendiri.

Tiga hari sebelum itu, Brazil juga kembali dari ketinggalan 2-0 sebelum bangkit menewaskan Perancis 3-2 di peringkat separuh akhir.

Sekalipun Brazil mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol, Mexico terlebih dahulu di depan pada minit ke-66 apabila Bryan Gonzales mengatasi dua pemain pertahanan Brazil untuk menanduk masuk hantaran lintang dari sebelah kiri.

Kaio Jorge kemudian menyamakan kedudukan buat pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti ketika permaian berbaki enam minit selepas pengadil VAR memberi panduan kepada pengadil perlawanan bahawa terdapat kekasaran berlaku terhadap Gabriel Veron di dalam kotak penalti.

Akhirnya pada minit ketiga masa kecederaan, pemain gantian Lazaro menyudahkan hantaran lintang untuk memberikan gol kemenangan yang meggegar stadium dengan sorakan penyokong tuan rumah.

Penyerang Flamengo itu juga menjadi hero menjaringkan gol kemenangan sewaktu Brazil menumpaskan Perancis  di separuh akhir tempoh hari juga selaku pemain gantian.

Jurulatih Mexico, Marco Ruiz ternyata tidak gembira dengan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Brazil.

“Mereka menggunakan VAR hanya apabila ianya memberi kelebihan kepada mereka. Kami menguasai permainan sehingga VAR membuat keputusan berkenaan” katanya dengan kecewa.

Kemenangan itu boleh dianggap sebagai dendam yang sudah terlunas di mana Brazil tewas kepada Mexico 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia B-17 pada 2005 dan begitu juga dengan skuad B-23 yang juga tewas di perlawanan akhir Olimpik 2012.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Arnaud Kalimuendo-Muinga mencatat hatrik untuk membantu Perancis mengalahkan Belanda 3-1.

Penyerang Belanda, Sontje Hansen pula merangkul anugerah kasut emas selepas muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.