Borussia Dortmund Julang DFL-Supercup Selepas Tundukkan Bayern Munich 2-0

Borussia Dortmund

Borussia Dortmund memperoleh tonik berguna sebelum tirai Bundesliga dibuka selepas berjaya menundukkan musuh tradisi, Bayern Munich 2-0 pada aksi DFL-Supercup yang berlangsung di Signal Iduna Park.

Pemain muda England, Jadon Sancho memainkan peranan penting pada perlawanan ini apabila menyumbat satu gol serta mencipta satu bantuan jaringan dihasilkan Paco Alcacer.

Kemenangan itu juga bermakna Dortmund berjaya menghalang Bayern daripada meraih kejayaan keempat DFL-Supercup berturut-turut.

Corak permainan berbalas serangan pada babak pertama yang ditampilkan masih belum mampu untuk menghadirkan sebarang jaringan buat kedua-dua pasukan.

Ketika aksi babak kedua baru berlangsung selama tiga minit, Paco Alcacer melonjakkan kegembiraan buat penyokong tuan rumah untuk gol pembukaan perlawanan.

Beliau yang menerima hantaran daripada Sancho, melepaskan rembatan leret dari luar kawasan penalti yang sekaligus menewaskan Manuel Neuer di gawang Bayern Munich.

Kredit harus diberikan kepada barisan pertahanan dan juga penjaga gol Borussia Dortmund, Marwin Hitz yang berhempas pulas menyerap setiap asakan yang dijelmakan Bayern Munich.

Sancho kemudiannya mengukuhkan kedudukan buat Dortmund dengan jaringan yang dihasilkannya pada minit ke-69.

Menerusi satu gerakan solo dilakukannya di bahagian kiri pintu gol Bayern Munich, Sancho melepaskan rembatan yang gagal dihalang Neuer.

Kelebihan dua jaringan tersebut kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan skuad bimbingan Lucien Favre itu meraih kejuaraan DFL-Supercup buat kali keenam.

Kredit foto: Borussia Dortmund

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram