Borussia Dortmund Hadiahkan TMJ Jersi Edisi Blackout

Menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia musim 2020, rata-rata pasukan bertanding kini sedang sibuk dengan latihan dan perlawanan pra musim masing-masing.

Juara Liga Super musim lalu, JDT misalnya memilih Dubai sebagai lokasi untuk menjalani program pra musim mereka dalam misi mempertahankan kejuaraan, dan menyiapkan pasukan bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Selepas mengharungi dua perlawanan di tempat sendiri sebagai pemanas badan di Stadium Sultan Ibrahim, lima lagi perlawanan persahabatan telah disusun untuk menguji skuad Benjamin Mora di negara Timur Tengah itu.

Antara kelab yang akan menguji skuad Harimau Selatan ialah Riga FC (Latvia), Dibba Al Fujairah Club (UAE), MSK Zilina (Slovakia), dan Emirates FC (UAE).

Sebuah lagi pasukan yang turut akan menjadi medan ujian juara Piala Malaysia 2019 itu ialah pasukan kebangsaan Turkmenistan yang kini merupakan pendahulu Kumpulan H pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kesemua perlawanan bakal diadakan di dalam tempoh 10 hari di antara 20 sehingga 30 Januari ini.

Turut berada di Dubai bersama keseluruhan skuad JDT adalah pemilik kelab tersebut, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja (TMJ).

Keberadaan baginda di Dubai turut mendapat perhatian kelab luar termasuk dari Borussia Dortmund.

Kelab Bundesliga tersebut yang mempunyai pemain seperti Jadon Sancho dan Erling Braut Haaland di dalam pasukan diwakili oleh Ketua Unit Pembangunan Akar Umbi Kelab, Edwin Boekamp.

Ia mungkin satu kunjungan biasa di mata pihak lain, tetapi lawatan sebegini juga sebenarnya adalah satu pengiktirafan kepada pasukan seperti JDT sebagai kelab yang paling berjaya di Malaysia pada hari ini.

Dalam pertemuan bersama Boekamp, TMJ turut dihadiahkan sehelai jersi Borussia Dortmund edisi Blackout.

Jersi blackout ini dilancarkan sempena ulang tahun ke-110 penubuhan Borussia Dortmund, yang mana bandar Dortmund pernah dikenali dengan industri pembuatan arang.

Ia digunakan buat kali pertama ketika Dortmund menewaskan Dusseldorf 5-0 dalam aksi Bundesliga di Signal Iduna Park sebelum ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram