Bola Sepak Scotland : Premiership Split System dan Promotion Play-Off

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Nazreen Izahar, penyokong Aberdeen dan salah seorang pembaca Semuanya BOLA. Ketika ini, beliau sedang mempersoalkan kredibiliti The Dons selepas Aberdeen tewas 3 kali berturut-turut.

Sila layari blog beliau untuk untuk lebih banyak artikel bola sepak daripada beliau.


Pada entri yang lepas, telah diterangkan kepada pembaca semua mengenai sedikit sebanyak tentang bagaimana musim bola sepak di Scotland dilaksanakan.

Ia mempunyai sedikit kelainan dengan liga-liga di Eropah yang lain antaranya Split System dan Promotion Play-Off. Namun ia punya masalah dalam perlaksanaannya setiap musim.

Dalam entri ini juga akan dibincangkan bagaimana sistem ini digunapakai sekiranya dipakai di Liga Malaysia.

1.0 Split System di Scottish Premiership

Sistem ini diwujudkan untuk mengelakkan 12 pasukan dalam liga teratas di Scotland ini bermain 44 perlawanan semusim.

Jadi mereka mewajibkan 12 pasukan berlawan sesama sendiri sebanyak 3 kali untuk mendapatkan 33 perlawanan dan baki 5 perlawanan semasa mereka dipecahkan kepada dua kumpulan berdasarkan pungutan mata selepas 33 perlawanan.

6 teratas akan ke kumpulan Championship manakala 6 terbawah akan ke kumpulan Relegation.

Apabila peringkat Split System mengambil tempat, peminat bola sepak di Scotland akan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana sistem ini akan menyebabkan pasukan mereka mungkin perlu bermain di tempat lawan sebanyak 3 kali menentang satu-satu pasukan dan hanya sekali saja di gelanggang sendiri.

Hal ini berlaku kerana setiap awal musim, pihak SPFL akan meramal dimana setiap pasukan akan menamatkan saingan selepas 33 perlawanan.

Sekiranya pasukan itu menamatkan saingan di luar ramalan pihak SPFL, mereka mungkin perlu bermain 3 perlawanan di tempat sendiri dan 1 di tempat lawan ataupun sebaliknya.

Sebagai contoh, sekiranya Dundee United dijangka menamatkan 33 perlawanan di tangga ke 4 tetapi mereka mendapat tangga ke 7 ; perlawanan antara mereka dengan Kilmarnock akan menjadi 3 di tempat lawan dan sekali di tempat sendiri ataupun sebaliknya kerana mereka tidak menepati jangakaan SPFL.

Selain itu, disebabkan Split System ini mata dari 33 perlawanan akan dibawa untuk peringkat ini, namun begitu kedudukan tidak akan berubah walaupun pasukan di kumpulan Relegation mempunyai mata yang lebih banyak dari pasukan di kumpulan Championship.

Ini akan mempengaruhi wang kemenangan untuk pasukan tersebut.

2.0 Premiership Promotion Play-Off

Di Scotland, 4 pasukan akan menyertai saingan untuk mendapat tempat di liga lebih tinggi pada musim akan datang.

Promotion Play-Off mempunyai 3 peringkat iaitu suku akhir, separuh akhir dan akhir serta semua perlawanan dilangsungkan secara timbal balik.

Di peringkat suku akhir, pasukan yang mendapat tempat ketiga dan keempat dalam liga Championship akan bermain untuk mendapat tempat di separuh akhir.

Siapa yang menanti di separuh akhir? Pasukan yang mendapat tempat kedua liga Championship.

Mereka akan berlawanan untuk ke perlawanan akhir yang sudah dinanti oleh pasukan tangga ke 11 di liga Premiership.

Sistem ini boleh dikira sebagai berat sebelah kerana pasukan lebih rendah perlu bermain seawal suku akhir sedangkan pasukan kedua tercorot liga Premiership sudah menanti di perlawanan akhir.

Promotion Play-Off sering dikecam di Scotland kerana perlawanan akhirnya dilangsungkan secara timbal balik dan bukan dengan mengadakan satu perlawanan
akhir di stadium nasional.

Micheal Gannon dari Daily Record pernah berkata:

“Apa yang mereka fikirkan dengan mengadakan timbal balik pertama pada Khamis sebelum perlawanan akhir dan timbal balik kedua pada 24 jam seterusnya?”

Hal ini merujuk kepada pasukan yang menyertai Promotion Play-Off serta perlawanan akhir Scottish Cup, mereka perlu bermain 3 perlawanan penting dalam masa 3 hari.

Bermula dengan timbal balik pertama Play-Off pada Khamis, perlawanan akhir Scottish Cup pada Ahad dan timbal balik kedua Play-Off pada Isnin.

Hal ini disuarakan selepas dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini terdapat beberapa pasukan yang terpaksa menghadapi situasi tersebut antaranya Gretna (2006), Queen of The South (2008) dan Ross County (2010).

Gannon juga hairan kenapa SPFL tidak mengadakan perlawanan akhir Promotion Play-Off sekali sahaja di stadium nasional:

“Lihat saja saringan di England. Ianya besar. Penentuan ke Liga Perdana digelar sebagai perlawanan terkaya ibarat seperti Mike Tyson menentang Rocky Balboa.”

Apa yang dikatakan oleh Gannon benar juga.

Perlawanan seperti itu cumalah melibatkan kelab kecil seperti Blackpool dan Walsall tapi suasananya amatlah hebat.

Akhir sekali, kelab yang terlibat dengan Promotion Play-Off selalu menghadapi masalah dengan pemain kerana rata-rata kontrak pemain akan tamat pada 31 Mei.

Tetapi Play-Off selalunya akan berlarutan hingga Jun dan ini sering menggusarkan kelab.

3.0 Bagaimana jika Split System dan Promotion Play-Off dilaksanakan di Malaysia?

Untuk jangka masa pendek, sistem Split System bersesuaian dengan liga di negara kita.

Ini kerana liga kita kecil dan perlukan perlawanan yang banyak untuk mewujudkan saingan kompetitif serta membolehkan jurulatih membuat pusingan skuad (squad rotation).

Namun jangan dibuat kesilapan yang dilakukan oleh SPFL seperti kedudukan tidak berubah selepas 33 perlawanan dan penjadualan yang kelam kabut.

Untuk Promotion Play-Off, adalah baik sekiranya diwujudkan liga kecil melibatkan 4 pasukan dengan bermain secara round-robin ataupun mengadakan undian untuk 4 pasukan bermain di separuh akhir, tidak perlu suku akhir seperti di Scotland.

Dengan ini tiada pasukan yang akan mendapat “bye” ke separuh akhir dan akhir kerana semuanya bermula di peringkat yang sama iaitu di separuh akhir.

Idea ini muncul selepas peminat Liga Malaysia mahukan 3 pasukan Liga Perdana naik ke Liga Super.

Salah satunya ideanya adalah mewujudkan saingan saringan antara pasukan tempat kedua, ketiga dan keempat Liga Perdana. Dari situ penulis mendapat idea untuk hal ini.

Bagaimana yang lain? Ada pandangan juga?

4.0 Kesimpulan

Walaupun tidak sempurna namun sistem liga di Scotland memberikan kelainan dan sesuatu yang boleh diadaptasi di negara yang mempunyai pasukan yang sedikit seperti kita.

Terima kasih kepada semua pembaca yang membaca penulisan ini.

Seterusnya kita akan jelajah jauh merentas benua untuk melihat bagaimana negara Uncle Sam melaksanakan Major League Soccer (MLS).

Baca juga: Bola Sepak Scotland: Lebih Daripada Sekadar Celtic Dan Rangers

Kredit Info : Wikipedia – SPFL , Micheal Gannon – Daily Record

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN