‘Bola Sepak Adalah Sukan Rakyat’ – Teguran ‘Makan Dalam’ Sultan Nazrin Kepada Pengurusan Perak FC

Kerjasama Semuanya BOLA

Sultan Nazrin Perak FC Logo

Polemik mengenai logo ‘tangkap muat’ Perak FC akhirnya turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Bermula dengan kritikan dan kecaman penyokong setia Perak terhadap reka bentuk logo tersebut yang tidak kemas dan didakwa ‘dicilok’ dari Google, respon yang diberikan oleh pihak pengurusan pasukan langsung tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menerusi Naib Presidennya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad sebelum ini telah membuat kenyataan yang telah memarakkan lagi api kemarahan serta mengguris perasaan penyokong setia Perak.

Dalam temubualnya bersama Bernama, beliau mempertahankan keputusan untuk terus menggunakan logo baharu yang diperkenalkan itu kerana telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi Perak FC.

“Kita akui penyokong ada hak untuk mengeluarkan apa jua pandangan, kritikan dan cadangan tentang logo itu. Kita terima dengan hati yang terbuka,” ujar Yadzan.

“Cuma apa yang saya boleh maklumkan keputusan untuk menggunakan logo itu kekal setakat ini. Ini bukan kehendak saya tetapi ia telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi yang menerajui persatuan sebelum ini.”

Kebanyakan pihak mentafsirkan kenyataan tersebut sebagai isyarat kepada tembok keegoan dan membuktikan pengurusan Perak FC sekadar ‘syok sendiri’ dalam membuat keputusan dengan membelakangkan pandangan penyokong.

Keadaan tersebut akhirnya sampai ke pengetahuan Sultan Nazrin yang kemudiannya menitahkan agar pihak pengurusan Perak FC mendengar dan menghormati maklum balas yang diberikan oleh penyokong bola sepak di negeri itu.

Dalam kenyataan yang disampaikan melalui Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat (YB) Khairul Shahril Mohamed berkenaan, baginda kemudiannya menasihatkan agar diadakan pertandingan mereka cipta logo baharu yang dibuka penyertaannya kepada seluruh rakyat negeri Perak.

Pemilihan logo itu kemudian perlu dibuat oleh penel penilai yang terdiri daripada mereka yang berpengetahuan dan berkepentingan sebelum dipersetujui secara kolektif oleh sebuah jawatankuasa.

“Baginda turut menzahirkan titah peringatan bahawa sukan bola sepak ialah sukan rakyat yang mempunyai paling ramai peminat di negara ini. Oleh itu suara rakyat dan pilihan rakya wajib diperoleh, dihormati dan dihargai,” jelas Khairul Shahril dalam kenyataan media tersebut.

Selepas ‘dihentak’ dengan peringatan ‘makan dalam’ itu, pihak pengurusan tanpa membuang masa telah melancarkan pertandingan reka cipta logo baharu Perak FC pada 9 Februari jam 11.00 malam dan meletakkan tarikh tutupnya 13 Februari jam 9.00 malam.

Ini bermaksud mereka yang mahu menyertai pertandingan ini hanya diberi masa kurang daripada 4 hari atau untuk menyiapkan sebuah logo yang diharapkan dapat memenuhi kehendak dan cita rasa orang ramai.

Menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya dalam tempoh sebulan lagi, langkah Skuad Seladang nampaknya ‘tersekat’ di peringkat pemilihan logo, sedangkan kebanyakan pasukan lain sudah pun melancarkan jersi rasmi pasukan masing-masing.

Kredit Foto: Bernama

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Melaka United Jadi Pasukan Pertama Liga M Terima Hukuman FIFA

80 Peratus Selesai, GoFlumen Semakin Hampir Jadi Pemilik Kedah

‘Koleksi’ Pemain Kebangsaan Bertambah Lagi, Ini 6 Perkara Mengenai Ketibaan Sumareh Di JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

One Comment

  • Bagi aku pengurusan kelab ni gagal dan pentingkan diri. Rakyat semua dah bash pasal logo, tapi boleh pulak dia kata nak proceed. Dia punya ego sampai sultan sendiri yg nasihatkan, baru dia nak ikut. Yg maklumkan pasal tu pulak bukan pengurusan kelab, tapi exco negeri. Apoo

    Papehal pun, harapnya logo yg dapat tempoh kurang 4 hari ni lawa dan diterima rakyat jelata semua

Leave a Reply