Blackburn Rovers: Bekas Juara Yang Tercari-Cari ‘Jalan Kembali’ Ke EPL [Bahagian 1]

Blackburn Rovers

Kejayaan Blackburn Rovers menjuarai kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 1994/95 akan sentiasa menjadi ‘kisah dongeng’ yang pasti diingati seluruh peminat bola sepak di mana ia mirip pencapaian luar biasa diraih Leicester City pada musim 2015/16.

Yang membezakan kedua-dua pasukan ialah Blackburn mendapat suntikan dana yang besar pada ketika itu manakala The Foxes pula tidak mendapat nikmat sedemikian rupa.

Tetapi hasilnya, kedua-dua pasukan menjadi kelab bukan pilihan yang berjaya melakarkan sejarah hebat muncul selaku juara Liga Perdana Inggeris.

Pengurus pasukan, Sir Kenny Dalglish bersama-sama Alan Shearer, Tim Sherwood, Colin Hendry dan Chris Sutton menjadi antara tunjang kepada kejayaan kelab yang mula ditubuhkan pada tahun 1875 itu.

Namun, selepas hampir 25 tahun kisah kegemilangan itu berlalu, Rovers kini tidak lagi seperti dahulu apabila sekadar menjadi kelab dengan prestasi turun naik dan lebih menyedihkan, mereka pernah tergelincir ke saingan League One 2017/18.

Sesuatu yang langsung tak dijangka akan terjadi dan tidak keterlaluan juga untuk memperkatakan bahawa Blackburn merupakan bekas juara EPL paling malang pada ketika ini.

Untuk bahagian pertama, mari kita singkap kembali secara ringkas mengenai perjalanan Blackburn Rovers sehingga mereka mampu bergelar juara EPL yang ketika itu baharu sahaja memasuki edisi ketiga.

Embed from Getty Images

Minat mendalam Jack Walker buahkan hasil lumayan buat Blackburn

Segalanya bermula apabila seorang usahawan berjaya, mendiang Jack Walker yang merupakan peminat setia Blackburn membeli kelab tersebut pada Januari 1991.

Cita-citanya untuk melihat Blackburn menjadi pasukan yang hebat jelas terserlah apabila Walker telah mengeluarkan dana berjumlah £25 juta bagi mendapatkan pemain baharu dalam tempoh tiga tahun terawal beliau memiliki kelab tersebut.

Ia termasuklah dengan memecahkan rekod perpindahan tertinggi Inggeris sebanyak dua kali pada ketika itu, sewaktu merekrut Alan Shearer dari Southampton dengan nilai  £3.3 juta serta Chris Sutton pada tahun 1994.

Hadir sebagai pemilik pasukan pada pertengahan musim 1990/91, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Walker dan musim berikutnya sudah mula menampakkan hasil positif kehadiran beliau.

Hal ini kerana Blackburn berjaya melayakkan diri ke kempen Liga Perdana Inggeris edisi pertama [1992/92] susulan kemenangan 1-0 pada perlawanan akhir play-off ketika menumpaskan Leicester City di Wembley.

Antara langkah penting yang diambil Walker pada ketika itu adalah dengan melantik pengurus legenda, Sir Kenny Dalglish pada 12 Oktober 1991.

Embed from Getty Images

Dua musim awal yang begitu mengagumkan

Tidak mahu bergelar penumpang dalam saingan tertinggi bola sepak Inggeris itu, Walker memberikan kebebasan buat Dalglish untuk membawa masuk pemain yang dimahukannya.

Sehubungan dengan itu, Dalglish telah membawa masuk pemain berusia 22 tahun, Shearer yang sebelum itu merupakan sandaran utama buat Southampton. Selain penyerang berbisa tersebut, Tim Sherwood, Henning Berg dan Graeme Le Saux turut menjadi pilihan Dalglish bagi menguatkan jentera pasukan.

Musim 1992/93 menyaksikan Blackburn menamatkan saingan di tempat keempat selepas mencatatkan 20 kemenangan, 11 keputusan seri dan 11 kekalahan untuk meraih 71 mata. Satu pencapaian yang cukup hebat buat sebuah pasukan yang baharu sahaja dinaikkan pangkat ke liga utama.

Musim pertama itu bagaimanapun bukanlah kempen terbaik buat Shearer berikutan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya pada Disember 1992 ketika menentang Leeds United yang menyaksikan beliau terlepas baki aksi selepas itu. Tetapi legenda England itu masih mampu menjaringkan 16 gol dalam 21 penampilannya pada aksi liga.

Musim berikutnya memperlihatkan peningkatan yang lebih ketara ditunjukkan skuad bimbingan Dalglish itu apabila bersaing hebat bersama Manchester United sehingga kedua-dua pasukan terikat dengan 79 mata ketika aksi berbaki lima perlawanan untuk ditamatkan.

Pengalaman bagaimanapun memisahkan apabila Manchester berjaya mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri pada lima aksi terakhir manakala Blackburn pula sekadar menang sekali, seri dua kali dan tewas dua perlawanan sekaligus mereka menamatkan saingan 1993/94 di tempat kedua.

Kali ketiga tak beri peluang, Blackburn muncul juara

Jack Walker terus menyuntik dana besar bagi menguatkan lagi skuad Blackburn apabila memecahkan rekod perpindahan British dengan merekrut Chris Sutton dari Norwich City dengan yuran perpindahan bernilai £5 juta.

Dalglish turut memecahkan rekod pembelian termahal British buat penjaga gol setelah berjaya mendapatkan khidmat Tim Flowers [Southampton] yang bernilai £2.5 juta.

Embed from Getty Images

Kehadiran Sutton nyata membentuk duo serangan cukup padu buat Blackburn di mana gandingannya bersama Shearer telah mencipta 49 gol dalam aksi liga yang mana Shearer menjaringkan 34 gol manakala Sutton dengan 15 jaringan.

Perseteruan di antara Blackburn dan Manchester United sekali lagi tercetus apabila persaingan tersebut diheret sehingga ke perlawanan terakhir yang menyaksikan Rovers berkelebihan dua mata sebelum aksi ke-42 bermula.

Segalanya tidak berlaku seperti diharapkan oleh Dalglish dan anak buahnya setelah mereka kecundang 1-2 di tangan Liverpool apabila John Barnes dan Jamie Redknapp memadamkan kelebihan awal yang dicipta Alan Shearer pada minit ke-20.

‘Kalau dah rezeki tak kemana’, itu kata-kata yang cukup sesuai untuk digambarkan tentang nasib Blackburn pada ketika itu. Ia susulan kegagalan Manchester United untuk meraih kemenangan dan sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 di gelanggang lawan yang meragut impian skuad bimbingan Sir Alex Ferguson itu untuk melakarkan kejuaraan hatrik.

Kejayaan yang sekaligus menamatkan penantian 81 tahun Blackburn untuk memenangi kejuaraan liga.

Untuk bahagian kedua, SemuanyaBOLA akan mengupas pula tentang perjalanan pasukan Blackburn Rovers pasca kejayaan hebat yang dilakarkan pada kempen 1994/95 itu. Sudah pasti lebih kepada cerita kekecewaan mereka. Nantikan!

Bersambung.

Kredit featured image: Ross Kinnaird/EMPICS via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Blackburn Rovers:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN