Bibi Ramjani Nafi KAFA Bersikap Zalim Terhadap Badhri Radzi

Bibi

Semalam kecoh di media sosial mengenai tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) cuba ugut bekas kapten skuad The Red Warriors (TRW), Badhri Radzi untuk melupakan tunggakan gaji selama dua bulan sebagai syarat untuk diberikan Sijil Perpindahan Negeri (SPN).

Sijil Perpindahan Negeri (SPN) membenarkan pemain-pemain untuk berhijrah menyertai pasukan baharu yang bersaing di Liga Malaysia. Tanpa SPN, Badhri Razi yang turut lebih mesra disapa sebagai Piya berkata tidak mungkin untuk beliau menyertai pasukan baharu, Kelantan United dalam saingan Liga Divisyen 3 (M3).

Malah, Piya menyifatkan tindakan KAFA itu adalah satu penganiayaan buat diri beliau sebagai pemain, dan dilihat seolah-olah sebagai usaha untuk menutup periuk nasi beliau yang mahu meneruskan karier bersama pasukan lain.

Mengulas mengenai isu tersebut, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Illias Khan menafikan pihaknya bersikap zalim terhadap Piya sebaliknya meminta pemain itu melihat semula kontrak yang telah ditandatanganinya.

Berkata dalam Stadium Astro, mengikut kontrak tersebut, KRW Sdn. Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn. Bhd akan membayar gaji pemain Kelantan United FC itu.

“Bagi saya, Piya tidak boleh menuduh dan meletakkan semua kesalahan itu di atas bahu KAFA semata-mata.

“Apabila KRW tidak boleh bayar gajinya, MyInspiration sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu tersebut kerana perjanjian dibuat di antara mereka berdua.

“Namun, hakikat sebenarnya, KAFA sendiri tidak terlibat dalam usaha membawa masuk semula pemain itu ke dalam pasukan Kelantan,” jelasnya.

Bibi Ramjani juga menasihatkan Piya supaya merujuk isu itu kepada mereka yang lebih arif dalam aspek perundangan.

“Jangan sesekali cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap nama baik KAFA.

“Untuk makluman anda (media), dalam penjanjian itu terdapat klausa tambahan supaya KAFA tidak terbeban dengan tunggakan dan risiko apabila pemain tersebut kembali bersama Kelantan,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram