Bibi Ramjani Kecewa Badhri Radzi Buat Kenyataan Kepada Media

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan kecewa dengan tindakan bekas pemain pasukan itu, Badhri Radzi membuat kenyataan media mengenai isu tunggakan gaji yang tertunggak bersama pasukan tersebut.

Bercakap kepada Berita Harian, Bibi menjelaskan pihaknya masih masih berbincang dengan pemain tersebut dan mengakui Badhri telah melanggar salah satu perjanjian yang dimenterai oleh mereka.

“Setakat ini kami masih berbincang dengan Badhri untuk mengambil pendekatan bagi menyelesaikan masalah namun dia sendiri melanggar perjanjian dengan persatuan sebagai pemain.

“Antara perjanjian yang dilanggar adalah membuat kenyataan media… dia sepatutnya tahu tanggungjawab seorang pemain yang masih mempunyai kontrak.

“Apa-apa masalah boleh diselesaikan menerusi perbincangan dan tak perlu membuat kenyataan media kerana KAFA dengan dia masih lagi berunding,” katanya.

kapten, piya
Kapten Kelantan, Badhri Radzi. Foto: NSTP

Semalam, pemain yang lebih mesra dengan panggilan ‘Piya’ itu jelas amat kecewa dengan sikap berdiam diri sehubungan dengan permasalahan yang dihadapi ketika ini.

Piya yang langsung tidak diberikan peluang beraksi pada pertengahan musim 2018 dilaporkan sudah menandatangani kontrak bersama Perlis bagi menghadapi musim akan datang.

“Kali terakhir saya menerima bayaran pada April lalu selepas dipinggirkan daripada TRW.”

“Sebagai pemain saya ingin menuntut hak itu kerana saya mempunyai komitmen kewangan yang tinggi yang perlu dibayar.

Dalam perkembangan yang sama, Piya turut menjelaskan tiada inisiatif berterusan yang diberikan KAFA untuk menyelesaikan isu yang kian meruncing ini.

“Apa yang membuat saya kecewa, KAFA hanya sekali memanggil untuk berbincang mengenai perkara itu, namun selepas itu tiada lagi usaha yang dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik sehingga ke hari ini.”

Kontrak Badhri bersama Kelantan telah tamat pada November lalu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram