Biar Hamidin Fokus 100% Jaga FAM

Hamidin

Rakan kongsi Liga Malaysia menerima peletakan jawatan Presiden Malaysian Football League (MFL) Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dengan hati terbuka dan menyatakan untuk terus memberikan sokongan kepada MFL di bawah teraju baharu Dato’ Ab Ghani Hassan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali menganggap keputusan Hamidin untuk melepaskan jawatan adalah wajar untuk beliau memberikan fokus 100 peratus kepada tugasnya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelasnya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL adalah dua skop entiti berbeza dan beliau percaya semua pihak memahami bukan mudah untuk menguruskan dua tugas dalam satu masa terutamanya dalam tempoh pandemik ini.

“Saya memahami apabila Datuk Haji Hamidin buat keputusan untuk letak jawatan kerana kita tahu beliau ingin memberikan sepenuh perhatian kepada bola sepak negara.

“Sementara Dato’ Ab Ghani boleh memberikan tumpuan terhadap bagaimana mahu menjadikan liga kita lebih begerak dengan lebih proaktif pada masa akan datang.

“Harapan saya ialah beliau (Dato’ Ab Ghani) dapat membantu kelab-kelab dalam soal penswastaan serta bersama-sama mencari jalan bagi menjana pendapatan di waktu pandemik ini.

“Beliau dan saya kebetulan seorang pemain bola sepak, maka sudah tentu pemahaman mengenai pengurusan bola sepak lebih mendalam serta lebih cepat dalam menyelesaikan sesuatu masalah jika ada sebarang isu,” katanya.

Dato’ Ab Ghani yang sebelum ini memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif MFL telah dilantik sebagai presiden menggantikan Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang telah meletak jawatan pada 12 Ogos lalu di mana perlantikan tersebut dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil daripada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Ab Rasid Bin Jusoh pula menyifatkan Dato Ab Ghani yang sebelum ini menjawat jawatan CEO MFL mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Haji Hamidin selepas melihat bagaimana beliau memastikan kelancaran Liga Malaysia khususnya pada musim ini.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato’ Ab Ghani kerana telah diberi kepercayaan untuk menerajui MFL selaku Presiden.

“Kita sedia maklum beliau sememangnya berkebolehan berdasarkan tugas beliau selaku CEO sebelum ini dan bagaimana beliau dan rakan sekerja menyakinkan pihak tertentu untuk memastikan liga terus berjalan.

“Itu kekuatan yang saya dapat lihat ada pada beliau dan saya percaya gandingan beliau bersama CEO baharu nanti akan lebih baik berlandaskan pelan yang betul bagi menjamin kecemerlangan sukan bola sepak ini”, jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Suffian Awang pula berharap sokongan berterusan akan diberi kepada Ab Ghani selaku Presiden baharu kerana percaya ia bukanlah tugas yang mudah untuk digalas terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19 ketika ini.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan tersebut kerana beliau juga merupakan orang yang dah lama dalam sukan bola sepak ini.

“Kita sememangnya memerlukan orang yang sudah mahir dan berpengalaman untuk mengemudi MFL dan ini langkah yang baik apabila Dato’ Ab Ghani dilantik sebagai Presiden.

“Cuma tugas kita semua adalah untuk sama-sama bekerjasama dan memberikan sokongan padu dalam keadaan COVID-19 yang sedang berlaku sekarang ini,” katanya.

Dato’ Ab Ghani yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan kini menjadi individu keempat yang dipilih sebagai Presiden MFL selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Tunku Ismail dan Datuk Haji Hamidin. – MFL

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply