Beto atau nama sebenarnya, Ahmad Khairil Anuar dikhabarkan sedang mencari jalan keluar dari Perak dan pasukan baru.
Ini adalah selepas pemain tengah muda Perak dan skuad kebangsaan bawah-23 ini semakin diketepikan oleh ketua jurulatih Perak, Karl Heinz-Weigang.
Ketika Perak menerima kunjungan Pahang di Stadium Perak semasa aksi pembukaan Liga Super 2017, nama Beto langsung tak tersenarai. Walau dalam bangku simpanan. Sedangkan beliau tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Jatuh dari senarai Weigang
Berita ini bukanlah satu kejutan bagi peminat Perak sebenarnya.
Sejak Karl Heinz-Weigang (gambar bawah) memegang teraju Perak pada separuh masa kedua musim 2016, nama Beto mula digugurkan dari kesebelasan utama ke bangku simpanan.
Dengan Weigang yang lebih menggemari gaya permainan ‘box-to-box’ Kenny Pallraj untuk digandingkan dengan gaya permainan ‘destroyer’ Nasir Basharudin, Beto yang menampilkan gaya permainan ‘deep lying playmaker’ hanya mencatat 1 penampilan liga sejak Weigang mengambil alih Perak.
1 penampilan itupun hanyalah sebagai pemain gantian.
Melaka United berminat pada awal musim 2017
Melihat peluangnya semakin terhad di bawah kendalian Weigang, Beto dilaporkan oleh media telah dipikat oleh Melaka United pada awal lewat tahun lepas.
Meskipun berminat untuk berhijrah, pemain yang lahir dari skuad Piala Presiden Perak ini diyakinkan oleh pihak pengurusan PAFA untuk kekal semusim lagi.
Bagaimanapun dengan PAFA sendiri membawa masuk pemain-pemain tengah baru seperti Hafiz Kamal, Jasazrin Jamaluddin dan Yashir Pinto, ia membuatkan kerja Beto untuk merebut tempat kesebelasan utama Perak semakin sukar.
Ketika ini Perak mempunyai hingga 7 pemain yang boleh bermain di posisi beliau. Sedangkan slot maksimum setiap perlawanan hanyalah 2 sahaja.
PDRM, Selangor intai Beto
Dengan kempen Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bakal menjelang pada pertengahan tahun ini, adalah penting bagi Beto untuk bermain dalam kesebelasan utama secara kerap.
Sebagai pemain utama dalam perancangan Frank Bernhardt di skuad kebangsaan bawah-23, beliau perlu memastikan kecergasan beliau di tahap tertinggi dan keyakinannya tinggi.
Kedua-dua aspek ini tak boleh dicapai jika beliau kekal di Perak.
Satu-satunya pilihan yang beliau ada adalah keluar Perak dan bermain di pasukan yang boleh menjanjikannya aksi kesebelasan utama setiap minggu. Sama ada keluar secara kekal ataupun pinjaman pada jendela perpindahan pemain pada pertengahan musim nanti.
PDRM yang kini bermain di Liga Perdana dilaporkan berminat untuk menguatkan jentera tengah mereka. Selangor juga dilaporkan berminat. Tetapi setakat ini tiada apa-apa tawaran konkrit daripada kedua-dua pasukan.