Berita Messi Keluar RM19 Juta Untuk Ikat Jamin Ronaldinho Palsu

Berita yang mengatakan kononnya Lionel Messi membelanjakan €4 juta (RM19 juta) untuk melantik empat orang peguam yang akan berusaha mengikat jamin Ronaldinho keluar dari penjara Paraguay adalah berita palsu menurut laporan akhbar Catalonia, Sport.

Pada minggu lepas, media seluruh media melaporkan Ronaldinho ditahan oleh pihak berkuasa Paraguay kerana cubaan memasuki negara tersebut dengan menggunakan dokumen palsu. Turut ditahan adalah abang Ronaldinho dan rakan perniagaan mereka.

Ronaldinho kini meringkuk di penjara sekurang-kurangnya selama enam bulan atas kesalahan tersebut. Manakala rayuannya supaya beliau dan abangnya ditahan di rumah tahanan, bukannya penjara, ditolak oleh hakim mahkamah rayuan.

Susulan daripada laporan tersebut, timbul pula berita kononnya Messi sedang berusaha membantu dengan melantik empat peguam untuk mewakili Ronaldinho dalam kesnya. Kos melantik empat peguam tersebut dikatakan mencecah €4 juta (RM19 juta).

Tetapi akhbar Sport diberitahu oleh wakil Messi bahawa pemain Argentina itu tidak berniat untuk membantu bekas rakan sepasukannya dari segi kewangan. Bagaimanapun Messi dikatakan bersimpati dengan nasib beliau.

Hidup Ronaldinho sentiasa mendapat perhatian media walaupun selepas bersara daripada arena bola sepak profesional pada tahun 2018.

Pemenang dua anugerah FIFA World Player of The Year dan Ballon d’Or ini pernah disiasat polis Brazil selepas didakwa membina kolam memancing haram di kawasan hutan simpan.

Polis turut bertindak merampas aset-aset beliau di rumah keluarganya sebagai cagaran jika gagal membayar denda mahkamah atas kesalahan tersebut. Antara aset yang dirampas polis adalah tiga kereta sports mewah dan sekeping lukisan dari artis Andre Berardo.

Pada tahun lepas, media melaporkan akaun bank Ronaldinho hanya ada baki RM23.86.

Abang Ronaldinho juga tidak kurang hebat kontroversinya. Pada tahun 2012, beliau dihukum penjara lima tahun di Brazil kerana kesalahan penggubahan wang haram dan mengelak pembayaran cukai.

Ronaldinho kini sedang menjalani hukuman penjara enam bulan di Paraguay. Baru-baru ini beliau membantu pasukan banduan penjaranya menang 11-2 perlawanan bola sepak menentang pasukan pengawal penjara. Bekas bintang Brazil ini menjaringkan lima gol dan menyumbang enam bantuan gol dalam perlawanan tersebut.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai kisah Ronaldinho sejak persaraannya:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram