‘Berita Buruk Buat Pasukan Bawahan’ – Ismail Zakaria Jangkakan Tekanan

ismail zakaria liga malaysia

Bekas pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria berkata yang pasukan-pasukan bawahan liga pasti akan merasa tekanan sekiranya Liga Malaysia berbaki tujuh perlawanan.

Ini berikutan perancangan yang telah dirangka oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekiranya liga dibenarkan bersambung iaitu liga hanya akan berlangsung untuk separuh musim iaitu tiada lagi pusingan kedua – hanya 11 perlawanan.

Menurut Ismail Zakaria yang dipetik berkata kepada Harian Metro, pasukan-pasukan yang kini berada di dasar liga pastinya mula kepanasan kerana nasib mereka dalam persaingan liga hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja berbanding 18 aksi sepatutnya.

Ini akan membuatkan pihak pengurusan, jurulatih dan juga pemain berada dalam tekanan untuk bersaing bagi mengelak penyingkiran apabila liga bersambung – yang dijangkakan pada September depan sekiranya mendapat kelulusan pihak berwajib.

“Pada saya, jurulatih pasukan terutama yang berada di kelompok bawahan liga sudah pasti mula kepanasan memandangkan semua pasukan hanya mempunyai baki tujuh perlawanan sahaja lagi sebelum dapat menentukan nasib mereka sendiri.

“Tidak keterlaluan kalau dapat saya rumuskan, mereka pasti tertekan dengan bebanan tidak dapat tidak, perlu diharungi sekiranya format baharu MFL menjadi kenyataan,” ujarnya yang musim lalu berjaya membawa UiTM FC ke saingan Liga Super.

“Seharusnya Liga M adalah sukan yang menggembirakan semua pihak termasuk peminat dan pemain serta pihak pengurusan. Tetapi jika benar-benar berlaku, ia bagaikan berita buruk kepada semua,” tambahnya lagi mengenai isu tersebut.

Pada ketika ini, di saingan Liga Super, empat pasukan tercorot adalah UiTM FC, PJ City FC, Melaka United dan PDRM FA, sementara di Liga Premier pula, Sarawak United, Negeri Sembilan, Kuching FA dan Perak II adalah penghuni kedudukan tercorot.

Selain itu, pengendali berusia 58 tahun itu juga menjangkakan aksi hambar akan dipamerkan oleh majoriti pasukan bertanding apabila liga kembali bersambung.

“Pada saya, jika liga hanya disambung pada pusingan pertama, hasrat jurulatih dan peminat untuk melihat aksi menarik dan menghiburkan tidak akan menjelma kerana kualiti pemain bagaikan hilang bisa serta hilang rentak kerana sudah lama berehat.

“Untuk bangkit kembali mereka memerlukan antara empat hingga lima perlawanan kelas A,” tambah Ismail Zakaria lagi yang kini tidak mengendali mana-mana pasukan selepas kontraknya tidak disambung oleh UiTM FC, pada Disember lalu.

KREDIT FEATURED IMAGE: STADIUM ASTRO

Baca lagi artikel lain mengenai Liga M dan Ismail Zakaria:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram