‘Beri Sancho Masa’ – Southgate Anggap Tahap Bola Sepak Inggeris & Bundesliga Jauh Berbeza

Gareth Southgate Jadon Sancho

Pengurus England, Gareth Southgate menawarkan pertolongan untuk membantu Jadon Sancho menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris selepas karier awalnya di Manchester United berdepan cabaran.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakhiri penantian untuk melengkapkan perpindahan ke Old Trafford dengan yuran perpindahan yang menelan belanja sehingga £73 juta dari Borussia Dortmund.

CEO Dortmund ‘Sakit Jiwa’ Tengok Sancho ‘Sendu’ Di Manchester United

Sancho juga merupakan sebahagian daripada anggota skuad England untuk kejohanan Euro 2020 tempoh hari, namun gagal memberi sumbangan besar kepada pasukan kerana hanya diturunkan dalam tiga perlawanan tanpa menyumbang sebarang gol dan bantuan jaringan.

Keadaan tersebut berterusan pada musim ini selepas beliau hanya diturunkan tiga kali sahaja dalam kesebalasan utama daripada lapan perlawanan dan masih gagal terlibat secara langsung dengan jaringan yang dihasilkan pasukan setakat ini.

Namun Southgate masih menyenaraikannya untuk tugasan antarabangsa menjelang aksi pusingan kelayakan Piala Dunia bertemu Andorra dan Hungary dan tentunya keputusan tersebut menimbulkan kritikan beberapa pihak disebabkan prestasi semasa yang tidak melayakkannya untuk dipanggil.

Jurulatih berusia 51 tahun itu percaya pergelutan Sancho di United salah satunya berpunca dari perbezaan kualiti di antara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Bundesliga.

Musim lalu pemain sayap itu walaupun berdepan dengan permulaan yang agak perlahan masih mampu menjaringkan lapan gol dan mencipta 11 bantuan jaringan.

“Mengenai Sancho, saya tidaklah terlalu terkejut. Saya rasa untuk menyesuaikan diri [dengan EPL], Bundesliga itu terlalu berbeza,” ujar Southgate.

“Dortmund adalah kelab yang besar,tetapi Manchester United ini adalah salah satu kelab terbesar di dunia. Jadi memang perlukan masa untuk membiasakannya.

“Di sini kita perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak pemainan bola sepak Inggeris, kamu bukannya boleh terus dapatkan gol dan mencipta jaringan yang banyak seperti mana di Bundesliga.”

Southgate mengakui  Bundesliga memang terdapat beberapa pasukan yang bagus dan merupakan tempat yang baik untuk pemain muda berkembang. Ia disebabkan ada beberapa pasukan yang tahapnya tidak terlalu tinggi.

Sancho mungkin baru sedar bahawa keadaan di EPL pula berbeza dengan setiap perlawanan berlangsung dengan tegang dan sengit, kerana setiap pasukan mempunyai pemain yang berprofil tinggi dan mampu untuk mencipta kejutan.

“Jadi adakah persembahannya beberapa minggu ini terlalu teruk? Pada saya tidaklah begitu, saya percaya kita perlukan berikan ruang dan peluang untuk Jadon dan kita akan lihat hasilnya bagaimana dia mampu beraksi di tahap yang lebih tinggi selepas ini.”

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply