Berbatov: Newcastle United Perlukan Pochettino Bagi Tarik Bintang Dunia

Newcastle United

Bekas penyerang kelahiran Bulgaria, Dimitar Berbatov menegaskan Newcastle United mampu untuk menarik minat pemain ternama dunia menyertai kelab tersebut sekiranya The Magpies membawa masuk pengurus pasukan yang tepat.

Newcastle yang dikatakan semakin hampir untuk mendapat pemilik baharu dari Arab Saudi bakal mendapat suntikan dana ‘luar biasa’ sekiranya proses pengambilalihan itu berjaya direalisasikan.

Sehubungan dengan itu, Berbatov melihat Newcastle perlu merekrut pengurus dengan reputasi tinggi seperti Mauricio Pochettino bagi membolehkan mereka menarik perhatian bintang-bintang bola sepak dunia.

Salah seorang pemain bintang dunia yang berada dalam fikiran Berbatov adalah pemain jentera serangan Real Madrid, Gareth Bale.

”Sekiranya khabar angin ini menjadi kenyataan, dan Newcastle ingin melantik Mauricio Pochettino, ia adalah satu langkah hebat dilakukan oleh kelab ini.”

Embed from Getty Images

”Jika dia [Mauricio Pochettino] pergi ke sana maka itu akan menjadi petanda pertama daripada pemilik baharu, kepada pemain yang mereka sasarkan bahawa kelab itu bersedia untuk berbelanja,” ujar Berbatov menurut laporan Goal.

”Jika anda meletakkan Pochettino bagi membimbing Newcastle dan anda bercakap dengan pemain yang menjadi sasaran, percayalah kepada saya bahawa mereka akan lebih memberikan tumpuan dan mengambil tawaran itu secara serius, termasuklah pemain nama-nama besar.”

”Saya tahu Gareth Bale adalah kalangan pemain yang dikaitkan dengan kelab ini. Saya pasti Newcastke mahu membina pasukan dengan beberapa pemain ternama.”

”Jika khabar angin ini benar, perkara pertama yang Pochettino perlu lakukan adalah jaminan mereka akan membeli pemain kerana dia ingin memiliki seberapa ramai pemain berkualiti bagi membolehkan dia mencapai sasaran kelab,” katanya lagi.

Konsortium Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF) dilaporkan akan memegang 80 peratus pegangan dan sekiranya segalanya berjaya mencapai kata putus, Yasir Al-Rumayyan akan dilantik sebagai pemilik baharu Newcastle United bagi menggantikan Mike Ashley.

Kredit foto: Serena Taylor/Newcastle United via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Mauricio Pochettino:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram