Berbatov: Kasihan Liverpool Jika Tidak Ditabal Sebagai Juara EPL

Berbatov

Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov berkata, Liverpool berhak untuk dinobatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan adalah tidak adil untuk menafikan peluang mereka sekiranya benar baki saingan musim ini tidak dapat dilengkapkan ekoran krisis pandemik coronavirus (COVID-19).

Hampir semua pertandingan bola sepak di Eropah kini sedang digantung dan masih belum ada kepastian bilakah ianya boleh bersambung semula. EPL juga sudah mengesahkan perlawanan tidak akan dimulakan semula pada awal Mei ini.

Liverpool kini sedang mendahului liga dengan 25 mata mengatasi penyandang juara, Manchester City dan saingan masih berbaki sembilan perlawanan. Pasukan itu hanya memerlukan enam mata sahaja lagi untuk memastikan mereka berjaya menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

“Banyak pihak yang sudah pun mencadangkan supaya kejuaraan EPL diberikan kepada Liverpool dan sejujurnya mereka memang berhak untuk memilikinya dengan apa yang mereka telah lalui pada musim ini.

“Tak mungkin ada pasukan lain yang mampu mengejar mereka. Dengan cara mereka beraksi, corak permainan menarik yang mereka tampilkan dan bagitu jauh mereka mendahului ketika ini, mereka berhak sepenuhnya untuk ditabalkan sebagai juara.

“Ianya tidak adil kepada mereka [Liverpool] sekiranya liga dibatalkan terus, sudah tentu mereka sangat kecewa,” kata Berbatov yang telah menjaringkan 56 gol sepanjang empat musim ni United.

Walaupun terdapat spekulasi mengenai permintaan untuk membatalkan terus saingan musim ini, EPL berkata pihaknya masih mensasarkan untuk menghabiskan semua saingan liga dan piala yang dipertandingkan.

“Bagaimanapun, keputusan untuk kembali beraksi tetap bergantung kepada kebenaran dan sokongan dari pihak kerajaan serta mendapatkan panduan perubatan yang betul,” kata pihak penganjur liga pada Jumaat.

Legenda bola sepak Bulgaria itu juga pernah beraksi untuk Tottenham dan Fulham sepanjang kariernya di England dan beliau tidak tahu adakah untuk menamatkan saingan liga musim ini satu keputusan yang betul dan sudah tentu ianya sukar untuk diterima.

Pada 2010, Berbatov muncul pemain United pertama dalam tempoh 64 tahun yang berjaya mencatat hatrik semasa berdepan Liverpool ketika pasukannya mencatat kemenangan 3-2 di Old Trafford.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liverpool dan EPL:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram