Berapakah Nilai Pendapatan Hasil Tajaan Pemegang Taruh Jersi Kelab-Kelab EPL Musim 2017/18?

Bola sepak moden pada hari ini bukan sekadar sukan dan aktiviti riadah semata-mata. Hari ini bola sepak merupakan satu industri yang mampu menjana pendapatan bernilai jutaan ringgit.

Salah satu hasil pendapatan yang sinonim dengan bola sepak ialah hasil daripada tajaan pada jersi pasukan.

Perkara ini tidak terkecuali di negara kita dengan deretan syarikat korporat tampil sebagai penaja seperti Forest City, Sarawak Energy, Al Hamra dan Aras Kuasa merupakan antara nama penaja yang sinonim dengan Liga Malaysia.

Artikel pada kali ini merungkai siapakah penaja di sebalik nilai tajaan terbesar dalam sejarah bola sepak pada jersi kelab Liga Perdana Inggeris.

Pengenalan

Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah salah satu liga bola sepak paling kompetitif dan menghiburkan. Tidak hairanlah ia menjadi liga bola sepak yang menarik tontonan paling ramai dari seluruh dunia.

Sejajar dengan peningkatan nilai komersil dan jumlah tontonan terhadap EPL, nilai tajaan yang diterima oleh kelab bola sepak juga turut meningkat.

Salah satu kaedah penajaan yang terkenal ialah melalui tajaan pada jersi pasukan- kaedah untuk mempromosikan jenama dengan cara termudah, tetapi menelan kos yang tinggi!

(Photo credit should read LILLIAN SUWANRUMPHA/AFP/Getty Images)

Nilai komersil EPL

Nilai komersil EPL di luar negara termasuk dari negara timur turut meningkat saban tahun. Pada musim 2017/18 hanya Liverpool, Southampton, Stoke City dan juga Watford yang masih membawa nama syarikat yang bertapak di tanah British.

Untuk rekod, EPL telah menjana rekod pendapatan berjumlah £281 juta pada musim 2017/18 hanya melalui tajaan pada jersi pasukan.

Nilai tajaan pada jersi kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris telah meningkat sebanyak 3 kali ganda sejak 7 musim yang lalu dan nilai tajaan pada musim ini mengatasi Bundesliga di tempat kedua dengan lebihan pendapatan sebanyak £160 juta!

(Photo by John Peters/Manchester United via Getty Images)

Penaja

Separuh dari penaja jersi kelab-kelab yang bersaing di EPL adalah dari negara Asia. Ini juga bermakna EPL mendapat perhatian dari penonton paling ramai di kalangan negara Asia.

Sebuah syarikat hartanah yang membangunkan bandar mesra alam dan 2 buah syarikat perjudian adalah antara penaja baharu pada musim ini.

Di sebalik kontroversi tajaan yang menyelubungi syarikat Ladbrokes bersama FA England, tajaan jersi melibatkan syarikat perjudian bertambah di kalangan kelab-kelab yang bertanding di EPL.

Selain daripada tajaan yang terpampang di dada jersi, kelab yang bertanding turut boleh menambah pendapatan dengan tajaan sehingga £20 juta di bahagian lengan jersi pasukan masing-masing pada musim ini.

Ini berikutan penamatan kontrak Barclays sebagai penaja rasmi EPL.

Manchester City masih merupakan penerima tajaan tertinggi pada lengan jersi dengan tajaan bernilai £10 juta daripada syarikat Korea, Nexxen.

10 buah kelab lain dilaporkan masih di peringkat rundingan untuk tujuan tajaan sedemikian dengan perantaraan Sporting Group International, sebuah syarikat perunding komersil berkaitan sukan di England.

Nilai tajaan pada lengan jersi setiap kelab dikatakan berbeza. Leicester dan Watford misalnya boleh menjana sehingga £500,000, manakala Huddersfield Town boleh memperolehi pendapatan sehingga £250,000 daripada tajaan ini.

Manchester United, Chelsea dan Tottenham memasukkan sekali klausa perjanjian tajaan pada lengan jersi kepada syarikat utama yang menaja jersi masing-masing, manakala Western Union membayar sejumlah £5 juta setahun untuk 5 musim berikutnya kepada Liverpool.

Rekod Tajaan

Dari segi saiz tajaan, Manchester United kekal sebagai penerima terbesar dengan nilai tajaan £47 juta setahun daripada syarikat pembuat kereta Amerika Syarikat, Chevrolet.

Chelsea berada di tangga kedua dengan nilai tajaan £4o juta dari syarikat pembuat tayar jenama Yokohama dari Jepun. Manakala pendapatan Manchester City telah meningkat kepada £35 juta setahun berdasarkan perjanjian kontrak dengan Etihad.

Tottenham Hotspur turut mengadakan rundingan kembali dengan AIA, sejajar dengan peningkatan poulariti kelab berkenaan dan kini menerima £35 juta semusim dari syarikat insuran berkenaan.

Liverpool berada di kedudukan ke-6 berdasarkan hasil pendapatan dengan nilai tajaan berjumlah £30 juta setahun daripada syarikat perbankan Standard Chatered.

Hampir kesemua 20 pasukan menerima peningkatan penajaan pada musim 2017/18 dengan West Ham dan Everton memperolehi peningkatan berbanding musim lalu setelah memeterai perjanjian dengan syarikat berasaskan perjudian.

Credit: sportingintelligence.com

 

Lokaliiti Tajaan

16 penaja untuk 16 buah kelab di EPL adalah dari syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat, China, Japan, Thailand, United Arab Emirates (UAE), Malta, Kenya dan juga Filipina.

Jumlah ini dijangka akan bertambah pada musim hadapan selepas pemilikan Southampton oleh syarikat dari China, Lander Holdings daripada pemilik asal, Katharina Liebherr dilengkapkan dalam masa terdekat.

Buat masa ini Southampton adalah salah sebuah kelab yang ditaja oleh syarikat yang bertapak di UK iaitu Virgin Media, sebuah syarikat telekomunikasi di Britain dengan nilai tajaan £6 juta setahun.

Penaja dan jumlah tajaan dijangka akan meningkat selepas proses pengambilalihan kelab berkenaan selesai.

(Photo by Justin Sullivan/Getty Images)

Rumusan

Nilai tajaan sering dikaitkan dengan nilai komersil liga tersebut. Apakah nilai Liga Malaysia? Berapakah yang wajar pasukan bola sepak kita perolehi?

Apakah peranan kita sebagai penyokong untuk menaikkan nilai Liga Malaysia? Berikan pendapat anda di ruangan komen. Kami ingin mendengar idea dan pandangan bernas daripada pembaca kami.

Sumber:

1. Alex Miller, sportingintelligence (2017): PREMIER LEAGUE SHIRT SPONSORSHIP DEALS SOAR TO £281.8M; http://www.sportingintelligence.com/2017/07/24/premier-league-shirt-deals-soar-by-record-rates-to-281-8m-250701/

2. Score and change (2017): Overview of the 2017/2018 Premier League sponsors; https://www.scoreandchange.com/overview-20172018-premier-league-sponsors/

3. Anthony Wright, Calcioe Finanza (2017): Gambling companies dominate Premier League sponsorship deals; no beer sponsors in 2017/18 for first time ever; http://en.calcioefinanza.com/2017/07/03/gambling-companies-dominate-premier-league-sponsorship-deals-no-beer-sponsors-201718-first-time-ever/

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN