Berapa Minit Permainan XI Harimau Malaya Menentang UAE Bersama Kelab?

Malaysia UAE 2021 Kesebelasan Utama Harimau Malaya minit permainan

Sebelum ini, banyak pihak termasuk penyokong bola sepak tanah air mempersoalkan minit permainan pemain-pemain yang terpilih untuk bersama Harimau Malaya.

Pemain seperti Akhyar Rashid telah menerima kecaman tentang pemilihannya, namun pengendali, Tan Cheng Hoe mempertahankan pemilihan pemainnya dengan kenyataan skuad ini tiada lagi masa untuk bereksperimen dengan pemain-pemain baharu.

Disebabkan itu, majoriti pemain yang dipilih ke dalam skuad kebangsaan kali ini adalah sememangnya sudah biasa dengan kaedah dan perancangan Cheng Hoe. Tempoh masa yang singkat menambah kesukaran untuk menyenaraikan pemain baharu.

Begitupun, Cheng Hoe turut membawa ke Dubai, UAE, beberapa muka baharu bersama kem skuad kebangsaan seperti Sam Somerville, Arif Aiman, Liridon Krasniqi, Luqman Hakim Shamsudin dan tentunya penyerang ‘trending’ saat ini, Guilherme de Paula.

Malaysia melalui tiga perlawanan di sana apabila turun berdepan Kuwait dalam aksi tidak rasmi, Bahrain (persahabatan antarabangsa) dan UAE pada awal pagi tadi dalam perlawanan ke-6, aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia tewas dalam semua perlawanan tersebut. Paling merisaukan adalah jentera serangan yang hanya meledak satu gol, itupun dalam aksi tidak rasmi ketika tewas kepada Kuwait dengan keputusan 1-4, sebelum tewas mudah 0-2 kepada Bahrain.

Awal pagi tadi, sekali lagi aksi longlai telah dipamerkan oleh Harimau Malaya apabila dibelasah UAE 0-4 dengan tiga gol dihasilkan dalam 10 minit terakhir perlawanan. Ini menyebabkan Malaysia turun ke kedudukan ke-4, Kumpulan G, pusingan kelayakan.

Jadi, dalam kesebelasan utama skuad negara dalam aksi menentang UAE, berapa minit permainan telah direkodkan mereka dalam aksi liga bersama pasukan mereka?

Penjaga gol: Farizal Marlias, JDT (1080/1170 minit)

Pertahanan: Matt Davies, JDT (610/1170 minit), Corbin Ong, JDT (1170/1170 minit), Aidil Zafuan, JDT (720/1170 minit), Dion Cools, FC Midtjylland (1611/2880 minit)

Tengah: Liridon Krasniqi, Newcastle Jets (186/1530 minit), Nor Azam Azih, Sri Pahang (1068/1170 minit), Syamer Kutty Abba, JDT (232/1170 minit)

Penyerang: Safawi Rasid, JDT (352/1170 minit), Mohamadou Sumareh, JDT (95/1170 minit), Guilherme de Paula, JDT/Perak (1028/1170 minit)

Posted by Football Association of Malaysia on Thursday, June 3, 2021

Empat pemain gagal mencapai separuh minit permainan dalam saingan liga iaitu Liridon Krasniqi (12 peratus), Syamer Kutty Abba (19 peratus), Safawi Rasid (30 peratus) dan yang paling rendah adalah Mohamadou Sumareh iaitu 8 peratus.

Selain itu, dapat dilihat Aidil Zafuan, Dion Cools dan Matt Davies hanya lebih sedikit daripada separuh minit permainan dalam liga iaitu Aidil Zafuan (61 peratus), Dion Cools (55 peratus) dan 52 peratus telah direkodkan oleh Matt Davies.

Adakah ia memberi pengaruh kepada tahap permainan mereka? Anda tentukan sendiri dengan melihat prestasi Safawi Rasid dan Sumareh yang merupakan tonggak utama skuad kebangsaan pada 2019 dengan apa yang dipamerkan awal pagi tadi.

Ya, mereka faham perancangan Cheng Hoe dan mudah untuknya mencatur permainan dengan pemain-pemain sedia ada dalam ‘kolamnya’ berdepan baki tiga perlawanan kelayakan ketika ini. Namun, mampukah mereka mencapai tahap yang diinginkan?

Pemain seperti Safawi Rasid dan Sumareh yang baru beberapa kali bermain selepas pulih daripada kecederaan, memperlihatkan mereka sangat bergelut dalam aksi berdepan Bahrain dan UAE. Mengapa masih menekan mereka untuk bermain?

Banyak faktor mempengaruhi prestasi pemain termasuklah minit permainan. Ini perlu diakui oleh Cheng Hoe kerana Sergio Ramos sebagai contohnya, terlepas peluang ke Euro 2020 apabila tersisih kerana kurang minit permainan di Real Madrid.

Jika mahu melihat lebih dekat, playmaker UAE, Omar Abdulrahman yang sebelum ini ditakuti ramai tetapi tiada dalam skuad mereka kali ini. Mengapa beliau tersisih?

Difahamkan beliau masih dalam proses mencari tahap kecergasannya selepas pulih daripada kecederaan dan hanya merekodkan 117 minit permainan di liga. Bert van Marwijk tenang membawa pemain muda, Abdullah Ramadhan untuk posisinya.

Ini saat genting juga buat UAE apabila menduduki kedudukan ke-4 Kumpulan G pada awalnya, tetapi van Marwijk yang kembali semula buat kali kedua bersama pasukan selepas dipecat memperlihatkan beliau tiada masalah mencuba pemain muda.

Berdepan Vietnam dan Thailand selepas ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad kebangsaan jika mahu kekal bersaing. Banyak kerja rumah perlu dibuat oleh Cheng Hoe dan keputusan berani juga harus dibuatnya berdepan baki dua aksi.

Baca lagi artikel lain mengenai skuad kebangsaan:

“Attitude” Tidak Betul Antara Punca Harimau Malaya Diratah UAE

Skuad Harimau Malaya Kena Banyak Cipta ‘Penetrating Pass’

Analisis: Antara Realiti Atau Fantasi, Peluang Wan Kuzain Sarung Jersi Harimau Malaya?

Leave a Reply