‘Benarkan Pengambil Alihan Newcastle Atau Hubungan 2 Negara Musnah’ – Putera Saudi Ugut PM UK

Putera Saudi PM UK

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman memberi amaran kepada Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson bahawa hubungan kedua-dua negara akan rosak sekiranya kerajaan British gagal untuk membetulkan kesilapan menghalang pengambil alihan kelab Newcastle United pada tahun lepas.

Arab Saudi melalui syarikat Dana Pelaburan Awam (PIF) milik Putera Mohammed dan PCP Capital Partners & Reuben Brothers dilaporkan telah membuat bidaan £300 juta (RM1.6 bilion) utuk membeli kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut dari jutawan British, Mike Ashley pada April tahun lalu.

Namun usaha tersebut terkandas setelah pihak EPL meragui latar belakang syarikat tersebut selain mengambil kira pelbagai faktor lain seperti bantahan beberapa pihak.

Antara pihak yang lantang menentang adalah badan hak asasi manusia yang melihat adanya seorang individu penting di belakang usaha tersebut iaitu Putera Mohammed yang terpalit dengan pelbagai isu termasuk kes pembunuhan seorang wartawan, Jamal Kashoggi.

Isu lain yang menjadi kritikan mengenai cadangan pengambil alihan itu adalah tindakan pihak berkuasa Arab Saudi yang tidak bertegas dengan masalah penyiaran ‘haram’ perlawanan EPL di negara tersebut.

Organisasi Dagangan Dunia telah memberi amaran kepada Arab Saudi bahawa negara tersebut telah melanggar peraturan global berkenaan hak cipta harta intelek selepas gagal mendakwa dan menghukum ‘lanun’ penyiar rancangan sukan dan filem.

Menurut laporan Daily Mail, mesej dari Putera Mohammed kepada PM UK itu pada Jun tahun lalu itu bukan sekadar langkah untuk melobi, tetapi seperti satu ‘ugutan’.

“Kami menjangkakan EPL akan pertimbangkan semula dan betulkan anggapan salah terhadap kami. Kami bukan mahu melobi, tetapi kami mahu EPL bercakap terus terang dan beri jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’, jangan biarkan kami tergantung.”

Arab Saudi telah lama ‘cemburu’ melihat negara Arab lain seperti Qatar yang memiliki Paris Saint-Germain dan Emiriah Arab Bersatu yang mempunyai kelab di England iaitu Manchester City.

Pada awal Februari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan laporan yang mengesahkan penglibatan Putera Mohammed dalam menjadi perancang kepada pembunuhan Kashoggi pada 2018.

Kashoggi, seorang kolumnis The Washington Post warga Arab Saudi yang mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat telah pergi ke kedutaan Saudi di Instanbul pada 2 Oktober 2018 untuk menguruskan dokumen berkenaan urusan perkahwinan dengan tunangnya, Hatice Cengiz, seorang warga Turki.

Bagaimanapun, wartawan berusia 59 tahun itu dipercayai diseksa dan dibunuh secara terancang dalam bangunan kedutaan tersebut dan mayatnya yang tidak dijumpai sehingga hari ini dikatakan telah dihancurkan.

“Bidaan untuk membeli Newcastle itu adalah satu cara untuk Saudi menggunakan sukan bagi mencuci wang haram mereka. Jadi kami harap Perdana Menteri tidak tunduk kepada tekanan Puteri Saudi tersebut,” ujar Kate Allen, pengarah Amnesty International UK.

Kredit Foto: Getty Images

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang berkaitan:

Syarikat Arab Saudi Batalkan Hasrat Ambil Alih Newcastle United

Pengambilalihan Newcastle United: Premier League Enggan Terburu-Buru

Tunang Kashoggi Ingatkan Newcastle United, EPL Tentang Nilai Moral

One Comment

  • Phew. Susah ni main ugut2. Tapi bagi aku better tak payah lah. Makin susah pulak arsenal nak menang liga kalau ada klon chelsea + man city ni huhu

Leave a Reply