Benarkah Skuad Jerman Juara Piala Dunia 2014 Terkena ‘Sumpahan’? [Bahagian 1]

Jerman Piala Dunia 2014

Adakah anda masih ingat dengan 23 orang pemain skuad kebangsaan Jerman yang menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil dahulu?

Pada malam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Maracana, Rio de Janeiro itu, pemain gantian, Mario Gotze menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk membantu pasukannya meraih gelaran juara dunia buat kali keempat.

Selepas tamat kejohanan tersebut, ada dakwaan yang mengatakan sebahagian besar pemain daripada skuad juara itu telah terkena ‘sumpahan’.

SemuanyaBOLA sebelum ini ada mengupas panjang mengenai nasib Gotze yang disahkan akan meninggalkan Borussia Dortmund pada musim panas ini. Pemain yang pernah diramal bakal menjadi salah seorang pemain terbaik dunia itu akhirnya sekadar menjadi ‘barang buangan’. Anda boleh bacanya di sini.

Bagaimana pula dengan nasib 22 pemain yang lain?

Penjaga Gol

Manuel Neuer masih kekal sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia. Malah belum ada penjaga gol lain yang mampu menggugat kedudukannya sebagai penjaga gol utama. Tetapi beliau telah dilanda beberapa siri kecederaan termasuk kecederaan lutut yang memaksanya berehat panjang pada 2017.

Sebagai kapten, Neuer terus memimpin Bayern Munich mendominasi saingan di peringkat domestik dengan meraih kejuaraan Bundesliga buat kali ketujuh berturut-turut dan dalam landasan tepat untuk terus mengekalkan kejuaraan pada musim ini.

Namun beliau gagal memimpin pasukannya meraih keputusan cemerlang di peringkat Eropah dengan kali terakhir Bayern muncul juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) adalah pada tahun 2013. Sejak berakhirnya Piala Dunia 2014, pasukannya masih gagal untuk mara ke perlawanan akhir.

Roman Wedenfeller kehilangan tempatnya sebagai penjaga gol utama Borussia Dortmund kepada Roman Burki pada 2015 dan kemungkinan besar adalah disebabkan faktor umur. Beliau kemudian menamatkan kariernya di kelab itu pada 2018 dengan mengakhiri khidmatnya selama 16 tahun di Signal Iduna Park.

Seorang lagi penjaga gol, Ron-Rober Zieler kekal bersama Hannover 96 sehingga pasukan itu tersingkir dari Bundesliga pada 2016 dan membawanya ke England menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City, tetapi gagal untuk menggugat kedudukan penjaga gol utama, Kasper Schmeichel.

Selepas hanya semusim di England, bekas pemain akademi Manchester United itu kembali ke Jerman untuk menyertai VfB Stuttgart dan pada musim lepas sekali lagi pasukan yang diwakilinya tersingkir dari liga utama. Musim ini beliau kembali menyertai Hannover 96 yang bersaing di liga divisyen kedua, 2.Bundesliga.

Pertahanan

Seperti Neuer, karier Jerome Boateng kekal stabil di Bayern Munich tetapi nyaris-nyaris meninggalkan pasukan itu apabila ‘terancam’ dengan ketibaan Matt Hummels terutamanya selepas beliau dilanda kecederaan lutut. Namun beliau masih kekal di Allianz Arena sehingga hari ini.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga pemain yang ‘ditamatkan perkhidmatan’ bersama skuad kebangsaan oleh Joachim Low pada Mac 2019 dan sejak itu tidak pernah lagi dipanggil untuk mewakili negaranya.

Seorang lagi ‘mangsa’ Joachim Low adalah Matt Hummels. Ketika menjulang Piala Dunia pada 2014, umurnya baru berusia 25 tahun dan dengan prestasi luar biasa dalam kejohanan itu, banyak pihak yang menjangkakan beliau bakal muncul sebagai pemain pertahanan terbaik dunia.

Deretan kelab-kelab besar ‘beratur’ untuk mendapatkannya dan akhirnya beliau memilih untuk kembali ke kelab asalnya, Bayern Munich pada 2016 dengan harapan gandingannya bersama Boateng mampu memberikan kejayaan seperti mana keampuhan benteng mereka di peringkat antarabangsa.

Malangnya, tiga musim di Bayern, prestasi Hummels hanyalah ‘biasa-biasa’ sahaja dan beliau berpatah balik ke Borussia Dortmund pada musim ini dan terus dipinggirkan daripada mewakili negaranya.

Matthias Ginter menyertai Borussia Dortmund dari SC Freiburg pada 2014, tetapi sepanjang tiga tahun di kelab itu, beliau gagal untuk menempatkan dirinya sebagai pilihan utama.

Keputusan untuk berpindah ke Borussia Monchengladbach pada 2017 ternyata tepat dalam mengembalikan prestasi terbaiknya. Beliau masih tetap dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan termasuk dalam Piala Konfederasi 2017 dan Piala Dunia 2018.

Karier Erik Durm juga serba tidak kena. Reputasinya sebagai pemenang Piala Dunia tidak membantu perkembangannya di Borussia Dortmund dengan hanya terus menjadi ‘watak sampingan’ sehingga mengalami kecederaan pinggul dan buku lali yang menyaksikan beliau langsung tidak beraksi sepanjang musim 2017/18.

Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke kelab EPL Huddersfield Town pada 2018 dan hanya kekal selama semusim. Setelah pasukannya tersingkir ke Liga Kejuaraan, musim ini beliau kembali ke Jerman untuk menyertai Eintracht Frankfurt dan namanya tidak lagi dipanggil ke skuad kebangsaan.

Shkodran Mustafi menyertai Valencia dari Sampdoria selepas Piala Dunia 2014 dan kemudian menyertai Arsenal pada musim panas 2016.

Mungkin tidak perlu mengulas panjang mengenai nasibnya di Arsenal. Ringkasnya kariernya di London tidak terlalu baik sehingga sering menerima kecaman daripada penyokong sendiri kerana kerap melakukan kesilapan dan gagal beraksi pada tahap yang memuaskan.

Mungkin tidak ada sesiapa yang mampu menafikan ‘aura pemimpin’ yang dimiliki Philipp Lahm dan bagaimana jeneral ini membimbing pasukannya sehinga berjaya meraih kejuaraan yang diimpikan.

Tidak lama selepas Piala Dunia 2014, beliau telah mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan untuk bersara daripada mewakili skuad kebangsaan sekalipun baru berusia 30 tahun pada waktu itu dan kemudian bersara sepenuhnya di Bayern Munich pada Mei 2017.

Pada DIsember 2017, Lahm telah dilantik sebagai duta kehormat untuk Jerman membida hak penganjuran Euro 2014.

Seperti Lahm, Per Mertesacker turut mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa dan pemain pertahanan tinggi lampai ini terus bermain untuk Arsenal dan bersara sepenuhnya pada 2018.

Kevin Grosskreustz mungkin boleh dianggap pemain paling malang dalam kumpulan ini. Daripada pemain yang membantu Borussia Dortmund meraih dua kejuaraan Bundesliga berturut-turut pada 2010 dan 2011, kemudian meraih gelaran juara dunia pada 2014, pada hari ini beliau sekadar beraksi di liga divisyen ketiga Jerman.

Setahun selepas menjulang Piala Dunia,  Grosskreustz telah ‘diturunkan pangkat’ ke Borussia Dortmund II akibat daripada penurunan prestasi,. Tidak lama selepas itu beliau telah dijual ke Galatasaray, malangnya disebabkan masalah dokumentasi, beliau tidak dibenarkan oleh FIFA untuk beraksi sehingga 1 Januari 2016.

Tanpa beraksi sebarang perlawanan kompetitif bersama kelab Turki itu, beliau kemudiannya kembali ke Jerman untuk menyertai Stuttgart pada Januari 2016. Sudah jatuh ditimpa tangga, pada Mac 2017, Stuttgart menamatkan kontraknya dengan serta merta selepas beliau terlibat dengan pergaduhan di sebuah bar.

Grosskreustz kemudian menyertai pasukan 2.Bundesliga, SV Darmstadt pada April 2017 dan setahun kemudian beliau menyertai kelab divisyen ketiga, KFC Uerdingen dan masih beraksi untuk pasukan tersebut sehingga hari ini.

Benedikt Howedes adalah pemain versatil yang boleh beraksi di semua posisi di bahagian pertahanan termasuklah menjadi pertahanan kiri ‘bidan terjun’ semasa Piala Dunia 2014.

Pada 2017, beliau pernah terfikir untuk bersara daripada terus bermain bola sepak kerana mula kerap dilanda masalah kecederaan dan tidak sanggup untuk bermain untuk pasukan lain kecuali Schalke yang menjadi satu-satunya pasukannya sejak kecil.

Howedes kemudian dipinjamkan ke Juventus pada Ogos 2017, tetapi dengan masalah kecederaan, beliau hanya beraksi tiga perlawanan sahaja di Itali sepanjang musim itu dan kemudian berhijrah ke Lokomotiv Moscow pada Julai 2018 dengan kontrak selama empat tahun.

Seperti Boateng dan Hummels, beliau tidak lagi dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan terutamanya dengan ketibaan generasi baharu seperti Niklas Sule, Jonathan Tah, Antonio Rudiger dan Niklas Stark.

Untuk bahagian kedua, SemuanyaBOLA akan mengupas mengenai nasib pemain tengah dan penyerang pula.

Bersambung.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai skuad kebangsaan Jerman:

https://www.semuanyabola.com/jerman-perancis-portugal-berada-di-kumpulan-maut-undian-kumpulan-euro-2020/
https://www.semuanyabola.com/jurgen-klopp-beri-bayangan-latih-jerman/
https://www.semuanyabola.com/bermula-sebagai-budak-bola-akhirnya-phillip-lahm-jadi-kebanggaan-jerman-bayern-munich/

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply