Benarkah PKNS FC Kaya Dengan Sejarah di Liga M Yang Boleh Dibanggakan?

Beberapa hari lalu, kecoh di media sosial apabila satu kenyataan media dikeluarkan oleh pihak FA Selangor mengenai perkhabaran penggabungan dua entiti bola sepak tersebar di negeri Darul Ehsan tersebut.

Segala desas-desus dan cakap-cakap yang disebutkan selama ini akhirnya disahkan benar dan bakal berlaku pada musim hadapan.

Berita itu juga disambut dengan perasaan bercampur-baur oleh pemerhati bola sepak tempatan; ada yang melihatnya sebagai perkara yang positif dan tak kurang juga yang mengkritik dan menentang langkah penggabungan ini.

Sekali imbas, terdapat banyak perkara positif yang boleh dinilai dari perkara ini terutamanya dari segi pengurusan kewangan, penghapusan persaingan sesama entiti Selangor, penyelarasan sistem pembangunan akar umbi selain pengembalian fokus kepada persatuan bola sepak Selangor demi mengembalikan hari-hari gemilang sang Gergasi Merah.

Pendek kata, demi memastikan kelangsungan pasukan baru Selangor ini, mahu tidak mahu, sama ada hendak atau tidak, terdapat beberapa perkara yang terpaksa ‘dikorbankan.’

Dalam hal ini, pasukan PKNS FC yang juga sebuah entiti ‘otai’ di bumi Selangor dianggap sebagai mangsa pembangunan semula ‘Selangor Baru’ yang dikatakan bakal menjadi sebuah kelab profesional pada musim hadapan.

Terdapat segelintir penyokong-penyokong Selangor merasakan tindakan FAS ini bersifat tamak, pentingkan diri sendiri dan hanya menjaga kepentingan tertentu.

Namun, benarkah hal ini?

Rata-rata pemerhati bola sepak mengatakan ia cukup kejam dan tidak adil untuk FAS memperlakukan PKNS FC sedemikian rupa. Untuk menjadikan kelab tersebut sebagai kelab pembangunan dan sokongan kepada Red Giants seolah-olah berniat jahat.

Mengambil legenda bola sepak Malaysia sebagai contoh, Datuk Santokh Singh menyelar tindakan FAS kerana merasakan PKNS FC adalah sebuah kelab yang telah lama berbakti untuk membangunkan bola sepak Selangor.

“Jangan nafikan hak kelab yang mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan bola sepak negeri Selangor,” ulas beliau sewaktu ditemuramah oleh Fox Sport.

Bekas tonggak pertahanan negara itu juga tidak dapat memahami tindakan FAS yang mahu menafikan pembabitan kelab itu dalam Liga Malaysia musim depan walaupun sudah lama PKNS FC mewarnai kancah liga tempatan secara kelab profesional.

“Kamu bercakap mengenai pasukan yang telah melahirkan pemain seperti Datuk Mokhtar Dahari, (R) Arumugam, (Datuk K.) Rajagopal, Reduan Abdullah dan diri saya sendiri, kami semua datangnya dari PKNS.”

“Jadi, saya rasa tindakan mereka tidak betul,” jelasnya lagi.

Namun, soalan yang ingin ditanyakan di sini adalah; benarkah kelab yang berpengkalan di Petaling Jaya ini kaya dengan sejarah ini yang signifikan dan cukup relavan?

Satu perkara yang ingin penulis sentuh di sini adalah dari segi sejarah.

Berbanding Persatuan Bola Sepak Selangor yang ditubuhkan pada tahun 1936, kelab PKNS FC ditubuhkan lebih lewat dari FAS iaitu pada tahun 1967, 10 tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Sejak itu, ramai pemain-pemain bola sepak berbakat besar pernah menyarung jersi PKNS FC dan mewakili pasukan kebangsaan.

Namun, harus diingat bahawa pemain-pemain terkenal seperti Arwah Mokhtar Dahari, (R) Arumugam, (Datuk K.) Rajagopal, Reduan Abdullah dan Santokh Singh hanya bermain untuk PKNS sewaktu kelab itu bermain di bawah Liga Selangor sekitar tahun 70-an dan 80-an dan bukan pada kejohanan bertaraf kebangsaan seperti Piala Malaysia.

Bukan niat untuk menidakkan sejarah atau merendahkan sejarah kelab ini, cuma jujurnya penulis merasakan ia dianggap terlalu ‘sentimental’ dan sejarah kelab ini sudah di ‘overglorified’ oleh mereka yang menentang penyatuan ini.

Ini kerana jika dinilai kepada pencapaian kelab PKNS di persada bola sepak profesional sejak 2004, selain berjaya muncul juara Liga Premier pada tahun 2011 (yang merupakan liga tier ke-2 pada waktu tersebut), mereka tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan liga tertinggi di Malaysia seperti Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia. Adakah pencapaian PKNS FC di peringkat profesional ini dianggap cukup signifikan dan bersejarah?

Sejumlah lebih RM150 juta dana kerajaan negeri Selangor telah dibelanjakan oleh PKNS FC sepanjang 15 tahun mereka bergelar kelab profesional, apakah pencapaian signifikan yang mampu mereka banggakan?

Adakah pelaburan berjumlah RM10-RM15 juta yang dibelanjakan saban tahun untuk pasukan ini lebur dan hangus begitu sahaja di akhir musim? Bukankah lebih baik jika wang tersebut disalurkan kepada program pembangunan bola sepak dan liga kompetatif peringkat negeri?

Mujurlah, pada musim ini PKNS FC berjaya muncul juara Piala Presiden buat kali pertama dan Naib Juara Piala Belia yang mencerminkan program pembangunan akar umbi mereka masih lagi gah seperti yang disebut-sebut.

Menyentuh soal pembangunan akar umbi PKNS FC, penulis juga ingin bertanyakan kepada penyokong yang tidak berpuas hati dengan penggabungan ini; berapa ramaikan pemain PKNS FC yang berasal dari akademi mereka yang bermain secara kerap di kesebelasan utama?

Dari kajian penulis (betulkan saya jika saya salah), hanya terdapat seorang sahaja pemain akademi PKNS yang berjaya memasuki kesebelasan utama skuad senior kelab ini iaitu Taufiq Ar Rasyid yang bermain sebagai penjaga gol kedua selepas Zarif Irfan.

Jangan salah faham, sekali lagi penulis ingin menegaskan bahawa bukan niat penulis untuk menyinggung hati dan perasaan jurulatih dan tenaga pengajar akademi PKNS yang selama ini komited mencurahkan bakti untuk membangunkan bakat-bakat muda di Selangor.

Apa yang ingin ditegaskan di sini adalah reality check kepada semua pemerhati bola sepak Malaysia, khususnya yang benar-benar kisah tentang kelangsungan bola sepak Malaysia secara amnya.

Suka penulis ingatkan bahawa PKNS FC akan terus wujud musim hadapan, tetapi fokus mereka adalah untuk membangunkan bakat-bakat baru dan bertanding dalam mana-mana liga yang bukan bawah kelolaan MFL seperti Liga Super FAS dan Selangor Champions League- bukan berkubur terus tanpa meninggalkan sebarang legasi.

Tuntasnya, selepas bergabungnya kedua-dua entiti ini, FAS akan lebih fokus untuk memenangi setiap kejohanan bola sepak yang dipertandingkan di Malaysia, manakala PKNS FC pula akan lebih fokus kepada program pembangunan bola sepak mereka secara lebih berkesan dan secara langsung membantu membekalkan bakat-bakat baru kepada bola sepak Selangor.

Malah, pemain-pemain muda hasil didikan akademi PKNS juga akan diberikan jalan yang lebih luas untuk menjadi pemain professional sebenar dibawah program pembangunan bola sepak Selangor yang lebih seragam dan menyeluruh.

Penulis benar-benar berharap agar sentimen hasutan dan percikan-percikan api perbalahan yang wujud dalam kem Selangor dan PKNS FC akan segera terpadam kerana fokus bola sepak negeri Merah Kuning ini sebenarnya mampu mencapai kejayaan jika semua pihak bekerjasama dan bersatu.

Yang mana masih tidak berpuas hati dengan penggabungan FAS dan PKNS FC ini, satu soalan yang penulis ingin tinggalkan: berapa keratkah antara kalian yang turun menyokong setiap permainan home PKNS FC di Stadium Shah Alam musim ini?

Untuk PKNS FC, terima kasih diatas penglibatan kelab anda di kancah liga M secara profesional sejak 15 tahun lepas. Penglibatan dan kepakaran anda masih diperlukan untuk pembangunan akar umbi . ‘Keep on doing at what you are good at’. Kini, tiba masanya warga bola sepak Selangor untuk bersatu demi memajukan bola sepak negeri Merah Kuning.

Demi Selangor!

NOTA EDITOR: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi SemuanyaBOLA.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram