Beli Kane Atau Haaland, Manchester United Akan Kembali Digeruni Di Eropah

Harry Kane Erling Haaland Manchester United

Kali terakhir Manchester United ‘menggegar’ bola sepak Inggeris adalah pada 2013, iaitu tahun terakhir Sir Alex Ferguson sebagai pengendalinya. Sejak itu, pasukan ini boleh dianggap ‘hilang taring’ selepas gagal meraih sebarang kejuaraan liga.

Hanya musim 2016/17 sahaja mereka dapat mencipta sedikit impak untuk menjuarai kejuaraan Liga Europa ketika dibimbing Jose Mourinho.

Namun kejayaan tersebut tidak disusuli dengan konsistensi di mana ‘The Special One’ kemudian dipecat disebabkan penurunan prestasi dan gagal menjaga keharmonian pasukan terutamanya konflik di bilik persalinan.

Jadi di mana sebenarnya kelemahan utama United?

Sejak penjualan Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku, United tidak ada penyerang tulen yang mampu menghasilkan 20 gol semusim.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Anthony Martial sama sekali tidak akan mencapai tahap yang diharapkan sebagai penyerang utama. ‘Mimpi indah’ Odion Ighalo juga tidak bertahan lama.

Ketibaan Edinson Cavani pula hanya boleh dianggap sebagai ‘persinggahan’ menjelang penghujung kariernya. Kontrak penyerang veteren itu juga hanya setahun dan tidak pasti adakah United akan menyambungnya pada penghujung musim ini.

Maka apa lagi pilihan yang ada untuk United melainkan menandatangani seorang penyerang prolifik yang telah terbukti kamampuannya.

Antara nama yang telah sekian lama dikaitkan dengan penghijrahan ke Old Trafford adalah Harry Kane. Kapten England itu masih ada kontrak bersama Tottenham sehingga 2024.

Apa yang penting adalah konsistensi Kane yang mampu meletakkan dirinya dalam kelompok senarai penjaring terbanyak EPL pada setiap musim.

Selepas tewas kepada Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Carabao  tempoh hari, khabar angin beliau akan meninggalkan kelab utara London berkenaan semakin bertiup kencang.

Erling Haaland juga calon yang  wajib untuk disenaraikan, namun pastinya sukar untuk United bersaing dengan kelab gergasi Eropah lain seperti Real Madrid, Barcelona, Chelsea, Manchester City mahupun Bayern Munich.

Penyerang muda Norway itu mempunyai klausa pelepasan bernilai £68 juta, tetapi ia hanya akan aktif bermula musim panas tahun depan.

Siapa yang mampu menafikan keupayaan pemain ini? Baru berusia 20 tahun, pastinya beliau mempunyai masa depan yang cerah. Saiz tubuh, kelajuan dan penyudahnya menjadikan beliau salah satu penyerang terbaik dunia ketika ini.

Kane atau Haaland, United hanya perlukan salah satu daripada dua pemain ini untuk kembali menjadi salah satu pasukan yang digeruni di Eropah.

Kredit Foto: Getty Images

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Benarkah Bapa Haaland Halang Anaknya Berhijrah Ke Manchester United?

Liverpool Catat Kerugian, Hutang Meningkat, Bayaran Gaji Masih Kedua Tertinggi Di Premier League

RASMI: Julian Nagelsmann Sah Sertai Bayern Munich, Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Selepas Henry & Shearer, Siapa Lagi Bakal Sertai Premier League Hall Of Fame?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply