Bekas Penyerang Everton, Victor Anichebe Dalam Radar Melaka United?

victor anichebe everton epl

Selepas gagal mendapatkan penyerang baharu dari Jamaica, Deshorn Brown yang memilih membuat ‘pusingan u’ untuk berkelana ke Indian Super League (ISL), sebuah laman sesawang, MelakaFA telah mendedahkan senarai lima calon baharu.

Deshorn Brown pada awalnya dikatakan akan tiba di Melaka United pada minggu lalu oleh Presiden MUSA, namun akhirnya pada saat akhir dikhabarkan dipancing oleh juara ISL 2018/19, Bengaluru FC.

Begitupun, hasil semakan Semuanya BOLA, Deshorn Brown pada pertengahan Disember lagi sudah dikatakan bakal ke Bengaluru FC yang ketika ini melalui awal musim tanpa penyerang import.

Dengan calon sedia ada, Amido Balde tampak seperti gagal untuk memikat pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan, Melaka United dikatakan bakal menguji lima lagi calon penyerang yang disebut.

Paling mencuri tumpuan pastinya nama bekas penyerang Everton dan Sunderland, Victor Anichebe yang sebelum ini beraksi di Chinese League One bersama Beijing Enterprises, yang turut berada dalam senarai untuk diterbangkan ke bumi Hang Tuah.

Victor Anichebe bukanlah nama asing di English Premier League (EPL) apabila telah beraksi selama tujuh musim di Goodison Park dengan menjaringkan 18 gol dalam 131 perlawanan di sana.

Jodohnya bersama Beijing Enterprise tidak lama apabila akhirnya memutuskan untuk meninggalkan pasukan tersebut angkara kritikannya mengatakan budaya liga tersebut yang dikatakan penuh dengan perbuatan tidak beretika seperti rasuah.

Selain Anichebe, Melaka United turut dilaporkan berminat dengan penyerang antarabangsa Jamaica, Kevaughn Frater, yang merupakan rakan pasukan skuad kebangsaan Deshorn Brown.

Kevaughn Frater yang berusia 25 tahun itu kini beraksi di divisyen dua Liga Amerika Syarikat bersama New Mexico United dan telah meledak 14 gol dalam 29 penampilannya di kelab tersebut.
Turut dikatakan akan diuji oleh Zainal Abidin Hassan adalah Francis Kone dari Ivory Coast, Kouassi Yao Hermann (Ivory Coast) dan Nino Flavio Rojas Sagal (Chile) untuk bergandingan bersama Uche Agba yang baru sahaja diumumkan sebagai penyerang, semalam.
Disamping itu, Melaka United akan memberi peluang kedua buat Amido Balde dalam aksi persahabatan seterusnya bersama-sama calon penyerang baharu. Amido Balde meledak dua gol ketika menentang Rizqi FC, namun aksinya kurang memikat pasukan.
Kredit Foto: RTE Sports
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram