Bekas Kapten Pulau Pinang, Kang Seung-jo Bakal Perkuatkan Kelantan?

Kang Seung jo julian bottaro pulau pinang kelantan 2019

Sebelum Pulau Pinang melengkapkan senarai pemain import mereka untuk saingan Liga Premier 2020, bekas kapten dan juga pemain tengah, Kang Seung-jo disebut-sebut bakal kembali ke Pulau Mutiara untuk mengukuhkan pasukan.

Segelintir penyokong Pulau Pinang menyatakan keyakinan mereka bekas kapten mereka itu bakal kembali ke Pulau Pinang dalam masa terdekat dan dipetik berkata yang Kang Seung-jo sendiri yang menyatakan bakal kembali bersama pasukan.

Malah, ketika Semuanya BOLA bertanyakan status pemain import kepada pengendali pasukan, Manzoor Azwira sebelum ini, status pemain kelahiran Korea Selatan ini masih dalam pertimbangannya, namun tidak dapat memberikan kepastian.

Ini kerana, ketika itu, Pulau Pinang masih mencari pemain pertahanan tengah untuk memantapkan benteng pasukan, sedangkan Kang Seung-jo adalah pemain tengah yang ditukarkan posisi ke pertahanan tengah ketika bersama Harimau Kumbang.

Kang Seung-jo mula beraksi bersama Pulau Pinang sejak musim 2018 dan membantu mereka meraih tiket ke Liga Super 2020 sebelum ianya dirampas oleh PDRM akibat arahan pemotongan enam mata oleh FIFA pada penghujung musim lalu.

Baru-baru ini telah tular di whatsapp dan laman sosial sekeping gambar pemain yang pernah mewakili negaranya di peringkat B-17 dan B-20 itu bersama salah seorang pegawai yang dikatakan mewakili Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Dengan Pulau Pinang sudah melengkapkan senarai pemain importnya kira-kira seminggu yang lalu, iaitu pertahanan tengah dari Brazil, Rafael Vitor, penyokong Pulau Pinang mungkin sudah boleh melupakan khidmat Kang Seung-jo.

Dan ketika ini, pemain yang pernah menyumbang empat gol sepanjang dua musim bersama Harimau Kumbang itu mungkin bakal memulakan langkah baharu mencari tapak lain untuk terus beraksi di Liga Malaysia musim hadapan.

Sekiranya perkhabaran penyertaannya bersama pasukan Kelantan menjadi kenyataan, pemain berusia 34 tahun itu mungkin bakal bertemu semula rakan-rakan dan pengendali lamanya dalam saingan Liga Premier 2020 pada 3 April depan.

Sebelum ini, pemain dari Korea Selatan yang pernah meninggalkan impak baik buat pasukan tetapi tidak dapat bersama pasukan semula adalah Lee Gil-hoon yang kemudian telah bertukar-tukar pasukan sebelum kali terakhir bersama Sabah pada musim 2018.

Kredit Foto: FA Penang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram