Bayern Munich Yakin Berjaya Pikat Aaron Ramsey

Bayern Munich yakin bahawa mereka sebenarnya sudah berjaya meyakinkan Aaron Ramsey untuk menyertai mereka dari Arsenal.

Pemain tengah Arsenal itu boleh diperolehi secara percuma pada jendela perpindahan musim panas akan datang selepas kontrak beliau di Emirates tamat.

Jadi rebutan kelab gergasi

Bayern Munich bukan satu-satunya kelab yang menunjukkan minat terhadap pemain yang berasal dari Wales itu. Independent turut melaporkan sekurang-kurangnya dua kelab Liga Perdana Inggeris- dinamakan Chelsea dan Liverpool turut memburu tandatangan Ramsey.

Goal turut melaporkan Bayern Munich, Juventus, Inter Milan dan Manchester United turut mengikuti rapat perkembangan Ramsey di Arsenal.

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)
Bayern Munich punyai sebab untuk yakin

Namun juara Bundesliga Jerman itu mempunyai sebab mereka tersendiri untuk berasa yakin Ramsey bakal menuju ke Allianz Arena.

Menurut Independent lagi, kelab Bavarian itu telah menemui wakil pemain tersebut dan yakin Ramsey akan menandatangani kontrak bersama mereka untuk tempoh masa yang lama sebelum musim hadapan bermula.

Namun Bayern Munich hanya boleh melakukan perbincangan rasmi bersama Ramsey atau ejen beliau selepas 1 Januari akan datang- kerana terikat dengan Peraturan Bosman yang hanya membenarkan pemain berbincang secara terus dengan kelab lain apabila kontrak berbaki enam bulan.

Bayern kini berada di dalam krisis prestasi yang memberikan tekanan kepada pengurus, Niko Kovac.

Satu-satunya pemain yang dibawa masuk oleh Bayern pada musim panas lalu ialah Leon Goretzka dari Schalke- juga secara perpindahan percuma selepas pemain tersebut menunggu kontrak beliau di kelab tersebut tamat sebelum ke Allianz Arena.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram