Barcelona Umum Lanjutan Kontrak Untuk Ernesto Valverde

Barcelona

Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde telah bersetuju untuk menerima kontrak lanjutan selama setahun untuk terus membimbing kelab dari Catalan itu.

Pengurus berusia 55 tahun itu mula menyertai Barcelona pada 2017, dan telah membantu kelab tersebut untuk menjuarai kejuaraan La Liga dan Copa del Rey pada musim pertamanya di Nou Camp.

Kontrak lanjutan ini bermakna bekas pengendali Athletic Bilbao ini akan terus mengendalikan Barcelona sehingga 2020, dengan pilihan lanjutan kontrak selama setahun lagi – yang boleh diaktifkan oleh kedua-dua pihak sekiranya ingin berbuat demikian.

Valverde dijadualkan akan menandatangani kontrak baru beliau bersama Barcelona di stadium kelab tersebut, sebelum sidang media diadakan menjelang pertemuan dengan Real Valladolid pada hujung minggu ini.

Barcelona kini mempunyai kelebihan enam mata berbanding seteru utama La Liga, Real Madrid, untuk mendahului kedudukan liga dengan 51 mata selepas 23 perlawanan – sekaligus berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan pada musim ini.

Skuad kendalian Valverde juga dijadualkan akan bertemu dengan Lyon di Stadium Groupama pada 20 Februari hadapan di pusingan kalah mati UEFA Champions League.

Valverde turut pernah beraksi sebagai pemain dengan Barcelona dan tampil sebannyak 24 kali untuk kelab itu. Sebagai pengurus, Valverde kini telah mengendalikan 96 perlawanan untuk kelab Catalan tersebut.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram