Barcelona Tewaskan Chelsea 3-0 Di Nou Camp, Lionel Messi Jadi Watak Penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Selepas terikat 1-1 di Stamford Bridge pada perlawanan pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, Barcelona tampil dengan lebih garang di laman sendiri untuk menewaskan Chelsea 3-0 awal pagi tadi.

Bintang Barcelona, Lionel Messi bertindak cemerlang apabila terlibat dengan ketiga-tiga jaringan tersebut apabila pemain antarabangsa Argentina itu menjaringkan dua gol dan turut mencipta bantuan jaringan yang dihasilkan Ousmane Dembele.

Messi tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 perlawanan menerusi gerakan ‘satu dua’ bersama Luis Suarez.

Walaupun berada di sudut sukar, Messi masih mampu meledakkan rembatan yang melepasi celah kaki penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois untuk memberikan kegembiraan buat penyokong tuan rumah.

Hasil daripada kesilapan Cesc Fabregas yang gagal mengawal bola dengan baik sehingga berjaya dirampas Messi di tengah padang, Barcelona berjaya melancarkan satu serangan balas pantas berbahya ke kubu Chelsea.

Messi meluru dengan laju untuk menggelecek pertahanan Chelsea dan melakukan hantaran kepada Ousmane Dembele yang tidak dikawal.

Dembele kemudiannya melakukan rembatan untuk membolosi gawang Chelsea buat kali kedua. Jaringan tersebut terhasil pada minit ke-20.

BARCELONA, SPAIN – MARCH 14: Lionel Messi of Barcelona evades Cesc Fabregas of Chelsea during the UEFA Champions League Round of 16 Second Leg match FC Barcelona and Chelsea FC at Camp Nou on March 14, 2018 in Barcelona, Spain. (Photo by David Ramos/Getty Images)

Chelsea yang dibimbing Antonio Conte cuba bangkit bagi mendapatkan jaringan dan peluang keemasan mereka hadir pada masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan percuma dari Marcos Alonso.

Sepakan dari Alonso bagaimanapun hanya singgah di tiang gol Barcelona yang dikawal Marc-Andre Ter Stegen.

Lionel Messi menambah duka Chelsea apabila menjaringkan gol ketiga buat Barcelona pada minit ke-63.

Situasi jaringan yang hampir sama seperti jaringan pertama yang dijaringkan Messi, cuma gol kali ini hadir di sebelah kanan pintu gol Chelsea.

Messi sekali lagi melepaskan rembatan yang melalui celah kaki Courtois.

Keputusan 3-0 kekal hingga tamat permainan untuk membawa Barcelona ke peringkat suku akhir dengan aggregit 4-1.

Chelsea pula menuruti jejak langkah dua lagi wakil England, Tottenham Hotspur dan Manchester United yang tersingkir kepada pasukan dari La Liga.